Jadi Muslim produktif dan mandiri

A
A
A

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi nasihat kepada umat Islam supaya tidak bergantung kepada bantuan dan perlu meningkatkan kerajinan dan usaha.

Sememangnya itu adalah teras kepada kejayaan sebuah bangsa mahu pun negara.

Ucapan itu disampaikan beliau ketika menerima anugerah kepimpinan Islam dalam lawatannya ke Kemboja baru-baru ini.

Kita bersetuju bahawa kebergantungan adalah budaya hidup yang menyekat kemajuan sesuatu bangsa atau umat. Ia lambang kemalasan dan tidak akan ada kemajuan jika seorang atau suatu bangsa bersandar harap kepada bantuan pihak lain semata-mata.

Umat Islam tidak harus dijangkiti oleh gejala meminta-minta. Akan tetapi hendaklah membina keupayaan dan kemampuan diri untuk berusaha secara berdikari mencapai kualiti hidup yang lebih baik.

Islam mempunyai prinsip jelas terhadap usaha mengubah nasib kaum iaitu prinsip taghyir ma bi anfusihim.

Iaitu berusaha untuk mengubah nasib sendiri dengan mengubah apa yang ada pada diri sendiri.

Sifat pergantungan adalah salah satu sifat yang perlu diubah jika umat Islam mahu maju. Pergantungan akan menyebabkan seseorang itu terdedah kepada agenda manipulasi oleh pihak lain.

Artikel Berkaitan:

Di peringkat negara, kebergantungan akan menjejaskan ketelusan serta kedaulatan sesebuah negara. Negara akan mudah diperbudak dan ditunggangi oleh kuasa luar.

Negara yang terlalu bergantung kepada bantuan akan didiktat oleh negara lain.

Seperti yang dapat dilihat berlaku kepada negara Arab, mereka sudah terlebih bergantung kepada negara Barat sehingga tidak punyai kedaulatan lagi untuk menentukan agenda sendiri.

Lebih parah mereka sudah menjadi alat kepada kuasa barat dan Zionis Yahudi.

Kerajaan sendiri perlu mengguna pendekatan baharu dalam menyampaikan apa-apa skim bantuan.

Selama 20 tahun Dasar Ekonomi Baru (DEB) berjalan di negara ini, berbilion ringgit disalurkan kepada Melayu Muslim namun pencapaiannya tidak membanggakan.

Membangunkan sumber daya manusia tidak mencapai apa yang diharapkan untuk melahirkan Melayu Muslim yang produktif dan berdikari. Akhirnya gejala ali baba mengambil alih DEB.

Kini pembinaan sumber daya manusia perlu diberi keutamaan kerana jika bantuan diberi terus menerus tanpa ada keupayaan yang kukuh untuk orang Melayu Muslim mengurus dan mengembangkan usha dengan baik, bantuan tidak akan mengangkat taraf kualiti hidup mereka.

Iktibar

Pengalaman Jepun perlu diambil iktibar. Sebuah negara yang dilumpuhkan dengan ledakan bom atom oleh Amerika Syarikat di Hiroshima dan Nagasaki pada 6 Ogos 1945. Namun Jepun bangkit tanpa bantuan daripada sesiapapun sehingga menjadi ekonomi antara terkuat di dunia pada zaman ini.

Menjadi seorang yang kuat berusaha tetapi memohon bantuan untuk mengembangkan lagi usaha bukan salah.

Kerajaan yang bertanggungjawab sememangnya patut membantu rakyatnya berdasarkan usaha yang berjaya. Namun hanya memberi bantuan tanpa sebarang syarat akan menyebabkan sumber negara membazir.

Lebih parah ialah bantuan disalurkan kerana kronisme (beri jawatan kerana rakan akrab) dan nepostisme (beri habuan kepada saudara dan rakan terdekat).

Kini bantuan berbentuk subsidi disalurkan kepada rakyat dalam pelbagai skim.

Berbilion ringgit nilai subsidi terpaksa dibelanjakan. Ini adalah satu bentuk bantuan untuk meringankan beban rakyat terutama golongan bawahan yang mudah terdedah kepada kenaikan kos hidup.

Reformasi subsidi negara terpaksa dilaksanakan kerana banyak subsidi tersasar kepada golongan yang berkemampuan.

Subsidi minyak dan gas adalah yang terbesar. Ditambah lagi bantuan untuk pendidikan, kesihatan dan pengangkutan, semua bantuan itu disalurkan kepada rakyat.

Malangnya kerap subsidi dan bantuan dipandang remeh oleh rakyat dengan mengambil sikap bahawa subsidi dan bantuan dianggap sebagai hak.

Dengan sebab itu gejala bersandar kepada subsidi dan bantuan menjadi budaya.

Islam meletakkan prinsip yang jelas mengenai hidup tidak meminta-minta. Berdikari adalah sifat para nabi dan generasi salaf. Hidup berdikari pada zaman ini memang sukar. Hidup dalam kesederhanaan bahkan keterbatasan sangat melelahkan.

Menjadi seorang Muslim yang berani tidak meminta-minta sekali pun sangat memerlukan kerana terikat dengan soal harga diri dan kehormatan sangat jarang ditemui.

Sekali pun tak punya tetapi pantang meminta.

Syekh Yasir Abdurrahman dalam bukunya yang berjudul Mausu’at al-Akhlaq wa az-Zuhd wa ar-Raqaiq mengungkapkan, sikap berdikari dan mandiri tersebut memiliki banyak keutamaan. ALLAH SWT secara langsung memuji para hamba-Nya, terutama mereka yang fakir, tetapi di saat bersamaan mereka tetap terhormat dan tidak meminta-minta.

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!