Tuntutan mencari harta halal mengikut syarak

DALAM usaha mengumpul dan mendapatkan harta, Islam mengingatkan kita agar mendapatkannya daripada sumber yang halal dan berlandaskan syarak. -Gambar hiasan
DALAM usaha mengumpul dan mendapatkan harta, Islam mengingatkan kita agar mendapatkannya daripada sumber yang halal dan berlandaskan syarak. -Gambar hiasan
A
A
A

DALAM era globalisasi yang semakin mencabar kini, kehidupan yang lebih selesa daripada biasa menjadi impian semua orang. Apatah lagi, dalam keadaan perbelanjaan dan harga barang yang semakin meningkat tahun demi tahun.

Justeru, semua agama termasuk Islam tidak menghalang seseorang itu mengumpul harta kerana ia ialah sumber kehidupan. Oleh sebab itu, ramai dalam kalangan kita tidak henti-henti memikirkan tentang apa yang akan diperoleh sama ada pada hari ini, esok atau hari berikutnya terutama berkaitan harta.

Perkara itu bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana ia termasuk dalam sifat semula jadi manusia itu sendiri sebagaimana Firman ALLAH SWT: "Harta benda dan anak-pinak itu adalah perhiasan hidup di dunia..." (Surah al-Kahf, ayat 46)

Apa yang pasti, pekerjaan yang halal itu menjadi keutamaan setiap manusia. Bahkan, ia sebenarnya merupakan satu tuntutan agama dalam memperoleh harta.

Dari perspektif Islam, harta bukanlah hanya dilihat sebagai wang ringgit sahaja, tetapi ia juga termasuk isteri, anak-anak, binatang ternakan dan hasil tanaman.

Namun begitu, dalam usaha dan kesungguhan kita mengumpul serta mendapatkan harta, Islam mengingatkan kita agar mendapatkannya daripada sumber yang halal.

Bukan sahaja halal yang dicari, bahkan cara kita memperoleh harta tersebut juga perlu diambil kira iaitu tidak menimbulkan rasa tidak puas hati orang lain dan jangan sesekali kita menganiaya seseorang semata-mata kerana ketamakan harta yang telah menguasai diri kita. Di samping itu juga, batas-batas pergaulan akhlak dan tingkah laku harus sentiasa dijaga demi memperoleh keberkatan atas setiap yang kita usahakan itu.

Kita juga disaran agar sentiasa sentiasa berkongsi dan memberikan sebahagian harta kita kepada orang lain yang memerlukan melalui saluran-saluran yang betul seperti zakat, sedekah, wakaf, derma, hibah dan seumpamanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam mencari harta, elakkanlah perbuatan-perbuatan seperti riba, menipu dalam pengiraan, monopoli harta keseluruhan, hasil rezeki yang merosakkan akidah, mencuri dan perlakuan-perlakuan zalim yang diharamkan oleh Islam.

Mana-mana agama sekalipun, pastinya tidak mahu pengikutnya mendapatkan harta dengan cara yang salah dan sudah tentu akan ada hukuman bagi mereka yang disabitkan kesalahan.

Tambahan pula, Islam sangat melarang umatnya daripada mengumpul harta semata-mata untuk kepentingan diri tanpa memikirkan dan mengabaikan kepada individu-individu yang lebih memerlukan.

Dengan sebab itu, kita harus percaya berdasarkan iman kita bahawa harta itu ialah pinjaman sementara kepada manusia. Sama ada kita mempunyai banyak harta atau sebaliknya, kedua-duanya pasti akan menerima ujian daripada Tuhan atas apa yang kita miliki.

Sehubungan itu, cari dan tuntutlah harta dengan cara yang betul berlandaskan ajaran Islam. Jangan sesekali kita lalai dengan harta yang boleh mengheret kita ke lembah kesesatan dan merugikan.

Sentiasalah beringat bahawa harta itu kepunyaan mutlak ALLAH SWT dan kita hanya sebagai peminjam seketika sementara berada dalam kehidupan dunia ini. Namun, janganlah kita langsung tidak berusaha sepanjang kehidupan kita dalam mencari harta kerana ia merupakan satu tuntutan.

Sabda Rasulullah SAW: "Mencari rezeki yang halal adalah wajib sesudah menunaikan yang fardu." (Riwayat al-Tabarani dan al-Baihaqi)

Justeru, yakinilah bahawa jika kita ikhlas kerana ALLAH SWT dalam mendapatkan setiap harta, kehidupan kita pasti akan sentiasa dicukupkan oleh ALLAH SWT.

***Rafiuddin Mohd Yusof merupakan Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan, Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara, Kampus Segamat, Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!