Suami isteri curi rantai emas milik sepupu
Kejadian jam 12.30 tengah hari itu disedari mangsa berusia 51 tahun apabila pulang ke rumah selepas menghadiri majlis kenduri kahwin jirannya.
Ketua Polis Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, lelaki berusia 37 tahun dan isterinya berusia 30 tahun itu mula bermalam di rumah mangsa pada 29 Ogos lalu.
"Bagaimanapun mangsa terkejut kedua-dua suspek menghilangkan diri dan hasil pemeriksaan di bilik mendapati rantai emas yang disimpan dalam beg tangannya hilang," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini.
Nor Azmi berkata, bagaimanapun tindakan suspek terbongkar apabila mangsa kemudiannya membuat laporan polis.
"Bertindak atas maklumat dan dengan bantuan IPD Kuala Muda, Kedah kedua-dua suspek berjaya ditahan di dua lokasi berasingan," katanya.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati suspek wanita mengaku mencuri barang kemas terbabit dan menggadainya di sebuah kedai pajak gadai di Sungai Petani, Kedah.
"Pemeriksaan di kedai pajak gadai tersebut menemui rantai emas terbabit yang bernilai RM1,700 dan surat pajak gadai.
"Pasangan terbabit juga menjalankan modus operandi menjadikan inap desa sebagai tempat tinggal sementara dan sekiranya gagal membayar sewa mereka berpindah ke inap desa lain sekitar Kedah," katanya.
Katanya, siasatan polis mendapati suspek lelaki amat dikehendaki polis kerana memiliki dua rekod lampau.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!