Bunuh rakan serumah kerana marah guna dapur
KOTA KINABALU - Polis menahan seorang warga emas berusia 82 tahun disyaki membunuh seorang pemuda berusia 32 tahun dalam satu perselisihan faham di sebuah rumah di Kampung Cempaka Baru Likas, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, lelaki warga Filipina dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri menikam pemuda itu yang juga rakan serumahnya dengan sebilah parang.
Katanya, isteri dan anak lelaki warga emas itu yang masing-masing berusia 57 dan 29 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu yang disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebilang parang sepanjang 69 cm yang digunakan dalam kejadian itu turut dirampas, katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Mangsa dikenali sebagai Hishamuddin Abdullah berasal dari Semenanjung, bekerja sendiri dan menyewa bilik bersama isterinya di rumah tersebut yang mempunyai enam bilik sewa.
Habibi berkata, siasatan awal mendapati perselisihan faham berlaku selepas mangsa memarahi anak lelaki warga emas itu kerana menggunakan dapur memasak miliknya.
Menurutnya perintah tahan reman warga emas itu bersama isteri dan anak lelakinya bermula hari ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!