Jawatan dalam PKR: Hujah Azmin ada asasnya…
KUALA KURAU - Kepimpinan PKR Pusat diminta meneliti segera hujah Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak bersetuju dengan pelantikan jawatan utama dibuat Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini, secara adil dan saksama.
Exco Kerajaan Negeri Perak dari PKR, Abdul Yunus Jamhari berkata, pada pandangan peribadinya, kenyataan Mohamed Azmin ada asasnya dan tidak boleh ditolak mentah-mentah oleh kepimpinan tertinggi parti.
Menurutnya, hujah disampaikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu juga dilihat ada kebenaran dan perlu diteliti secara saksama.
"PKR meraikan perbezaan pandangan. Ini lumrah dalam mana-mana parti, apatah lagi kenyataan Mohamed Azmin ada asasnya.
"Memandangkan hujah diberikan Mohamed Azmin ada kebenaran dan agak kuat, kita tidak boleh sorok segala perbezaan pendapatan dalam parti di bawah permaidani, sebaliknya teliti semula secara adil dan saksama, "katanya pada media sewaktu merasmikam program gunting rambut dan membaiki seluar Dun Kuala Kurau di pejabat Pusat Khidmat Adun Kuala Kurau di sini hari ini.
Abdul Yunus yang juga bekas Setiausaha PKR Perak berkata, memandangkan PKR kini adalah parti dalam kerajaan, rakyat akan meneliti dan menilai keupayaan parti ini dari semasa ke semasa.
Segala permasalahan dalam parti perlu ditangani secara bijaksana tanpa perlu menimbulkan rasa ketidakpuashatian dalam kalangan ahli parti.
"Mengenai keputusan Anwar melantik Rafizi Ramli sebagai Naib Presiden PKR baharu, pada saya itu hak presiden sebagaimana termaktub dalam perlembagaan parti.
"Saya percaya pemilihan Rafizi dilantik atas kebijaksanaan beliau membuat keputusan, cuma bagi isu membabitkan pandangan Mohamed Azmin, saya harap beliau juga akan membuat keputusan adil dan saksama," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan Mohamed Azmin tidak bersetuju dengan pelantikan jawatan utama yang dibuat Anwar dan menggesa untuk meneliti semula keputusan itu.
Mohamed Azmin berkata, pelantikan yang diumumkan tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’ terhadap aspirasi ahli dan percaya ia tidak akan membantu parti terus maju ke hadapan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!