Stadium Utama Gelora Bung Karno 'bergelora'
STADIUM Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, Indonesia 'bergelora' semalam dengan pelbagai tindakan provokasi oleh penyokong-penyokongnya yang tidak berpuas hati dengan kekalahan pasukan tuan rumah yang tewas 2-3 dengan Harimau Malaya.
Editor Sukan Sinar Harian, Izahar Atan yang turut berada di stadium menyaksikan perlawanan itu sendiri memberitahu, terkejut dengan apa yang berlaku.
Beliau berkata, walaupun insiden provokasi oleh penyokong Indonesia bukan isu baharu namun apa yang berlaku semalam lebih teruk berbanding sebelum ini.
"Para penyokong Indonesia buas dan liar... mereka sangat berani dan langsung tidak menghiraukan pihak berkuasa mereka sendiri.
"Mereka berani masuk ke padang, masuk menyerang ke kawasan penyokong Malaysia malah kapten pasukan bola sepak mereka sendiri juga dimarahi kerana meminta mereka bertenang," katanya ketika dihubungi hari ini.
Izahar yang juga Naib Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM) berkata, kedudukan tempat duduk penyokong Malaysia yang berada di barisan bawah di stadium juga antara sebab mereka menjadi sasaran mudah balingan pelbagai objek seperti botol air, besi dan batu.
"Ada penyokong kita yang patah tangan kerana cuba mempertahankan diri ketika diserang, yang cedera ringan terkena pelbagai objek serta ada seorang yang sesak nafas dan terpaksa dikejarkan ke hospital.
"Ada yang menjerit dan melabelkan Malaysia sebagai anjing dan menggunakan bahasa lucah. Saya sedih dan kecewa dengan insiden sebegini... sepatutnya penyokong Indonesia tidak perlu beremosi seperti ini kerana ia sekadar perlawanan bola sepak, jangan bawa sentimen luar dan luahkan melalui medium ini," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Kelayakan Piala Dunia 2022: Indonesia mohon maaf
Skuad Harimau Malaya naik kereta perisai balik hotel
Katanya, bagaimanapun beliau percaya tindakan liar penyokong-penyokong Indonesia semalam tidak menggambarkan keseluruhan penduduk Indonesia.
Dalam pada itu, seorang penyokong Malaysia yang enggan dikenali memberitahu, insiden provokasi ke atas penyokong Malaysia sudah bermula sebaik tiba di pekarangan Stadium Utama Gelora Bung Karno pada jam 4 petang semalam.
Menurutnya, kedatangan mereka sudah disambut penyokong Indonesia dengan balingan pelbagai objek termasuk botol berisi air kencing, batu dan pemetik api selain dihujani dengan makian.
"Tapi keadaan masih terkawal namun tindakan provokasi mereka berulang apabila pasukan Harimau Malaya menyamakan gol pertama sehinggalah kita menang.
"Mereka baling objek, serang dan masuk ke kawasan penyokong Malaysia... keadaan memang kucar-kacir sehingga ada yang cedera dan menerima rawatan luar di hospital," katanya.
Disebabkan keadaan sangat tegang katanya, pihak keselamatan Indonesia meminta semua penyokong, wakil dan pemain Malaysia masuk ke bilik khas di stadium dan kami terpaksa berkurung di situ beberapa jam sehingga keadaan disahkan selamat.
Menurut penyokong itu lagi, dia bersama hampir 1,000 penyokong Malaysia yang lain kemudiannya beredar dari stadium kira-kira jam 1 pagi, selain menyifatkan insiden itu yang terburuk berbanding sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!