Tular lelaki jual organ tidak benar: Polis
KOTA BHARU - Maklumat yang tular mengenai seorang lelaki yang dipercayai menjual organ manusia adalah tidak benar.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, maklumat yang dikongsi melalui aplikasi WhatsApps sejak semalam itu tidak sahih dan orang ramai diminta untuk henti menyebarkannya.
"Laporan tersebut tidak benar. Jangan percaya perkara yang tidak betul. Rujuk pihak Polis dan pihak berkuasa yang berkaitan," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Terdahulu, satu penyebaran maklumat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab mengenai seorang lelaki yang dikatakan menjadi dalang menjual organ manusia.
Lelaki tersebut dikatakan telah membunuh seramai 16 orang wanita dan lima orang lelaki untuk mendapatkan organ yang dikehendaki.
Selain itu, lelaki tersebut juga dikatakan turut diburu polis kerana dipercayai merupakan seorang perogol bersiri yang aktif di Malaysia dan sempadan Thailand.
Khabar angin itu juga turut meminta seluruh masyarakat berjaga-jaga terutama di waktu malam dan pagi dan dia kini dikatakan sedang giat mencari mangsa di sekitar Bachok.
Mengulas lanjut, Abdullah memberitahu, perkongsian maklumat tersebut adalah tidak benar dan ia memberi kesan kepada seluruh masyarakat terutama polis sekaligus menimbulkan rasa panik dalam kalangan penduduk setempat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!