Sultan Kelantan zahir kekesalan buat rakyat keliru
KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V menzahirkan kekesalan dan rasa yang amat dukacita di atas kekhilafan peribadi Baginda yang telah mengakibatkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Kekecewaan Baginda itu juga dizahirkan berikutan penularan gambar-gambar peribadinya turut mendatangkan pertelagahan di media sosial kerana maklumat yang tidak sahih.
Pengelola Istana Di Raja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan berkata, Istana Kelantan menafikan sekeras-kerasnya segala kenyataan yang tidak benar dan berunsur fitnah disiarkan bersama gambar-gambar tersebut.
“Bukan menjadi kelaziman pihak istana untuk memberi penjelasan kepada bualan di media sosial tetapi Istana Kelantan telah memutuskan untuk menjernihkan kekeruhan yang sengaja ditimbulkan untuk mengelirukan rakyat.
“Sekali lagi pihak Istana menyeru supaya rakyat tidak mudah terpengaruh dengan penyebaran kenyataan yang tidak benar dan berunsur fitnah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Selepas berita pengesahan Baginda bercerai talak tiga dengan wanita warga Rusia, Rihana Oksana Gorbatenko dibuat Julai lalu, pelbagai gambar peribadi pasangan tersebut mula tular di media sosial dengan timbulkan pelbagai kenyataan tidak beradab.
Selain itu, Nik Mohd Shafriman juga memaklumkan, Baginda sebagai Sultan yang memerintah negeri Kelantan tidak seharusnya dikaitkan dengan fitnah dan coretan tidak sahih di media sosial.
“Fitnah-fitnah berupa coretan yang tidak benar ini telah mencemarkan nama baik Kesultanan Kelantan dan kerabat Diraja Kelantan,” katanya.
Katanya, sebaliknya Baginda berharap agar rakyat dapat mendoakan kesihatan dan kesejahteraan ayahanda Baginda yang amat di kasih sedang gering.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!