Padah buat laporan palsu diragut
KUALA LUMPUR - Gara-gara membuat laporan palsu kononnya diragut, seorang wanita warga asing ditahan polis semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, suspek membuat laporan polis mendakwa dirinya telah diragut di hadapan sebuah restoran makanan segera di Jalan Sri Jati, Petaling pada jam 11.30 pagi, 2 September lalu.
"Bagaimanapun suspek memberikan jawapan yang meragukan dan tidak konsisten ketika dirakam percakapan," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, suspek bagaimanapun mengaku laporan yang dibuatnya itu tidak benar dan kejadian tersebut tidak berlaku.
"Suspek mendakwa dia berbuat demikian untuk mendapatkan pasport baharu di pejabat Imigresen di Putrajaya gara-gara pasportnya disimpan oleh majikan.
"Pada masa sama, suspek turut menyatakan dia berbuat demikian kerana melarikan diri daripada majikan," katanya.
Menurutnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.
“Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tiada dokumen pengenalan diri," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!