Sembilan stesen catat IPU tidak sihat: JAS

Pemandangan bandaraya Kuching yang berjerebu dirakam dari udara - Foto BERNAMA
Pemandangan bandaraya Kuching yang berjerebu dirakam dari udara - Foto BERNAMA
A
A
A

PUTRAJAYA - Sembilan stesen mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat hari ini iaitu tujuh stesen di Sarawak dan dua stesen di Semenanjung Malaysia, menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Stesen-stesen tersebut ialah Kuching, Sri Aman, Samarahan, Sibu, Sarikei, Miri dan Mukah di Sarawak; Batu Muda, Kuala Lumpur dan Nilai, Negeri Sembilan.

Menurut JAS dalam kenyataan hari ini, asap jerebu dari kelompok titik panas di Riau, Jambi dan kepulauan Bangka yang dipengaruhi oleh angin lazim dari arah tenggara mengarah ke arah barat daya telah memberi kesan jerebu rentas sempadan ke arah Semenanjung Malaysia.

"Asap jerebu dari bahagian barat, tengah, dan selatan Kalimantan juga telah memberi kesan jerebu sederhana sehingga tidak sihat ke kawasan sekitar bahagian barat Sarawak sebelum bergerak masuk ke Laut China Selatan," jelas JAS.

Menurut JAS, tiupan angin barat ke barat daya dominan pada masa ini dijangka boleh menyebabkan hujan di utara perairan Selat Melaka pada sebelah pagi dan secara amnya dapat mengurangkan kesan jerebu di bahagian utara pantai barat Semenanjung, namun keadaan ini masih boleh menyebabkan keadaan cuaca berjerebu sederhana di kawasan lain di Semenanjung.

Menurut JAS, pergerakan asap jerebu sederhana sehingga tebal di Kalimantan berkemungkinan menyebabkan keadaan cuaca berjerebu sederhana sehingga tidak sihat dan mempengaruhi jarak ketampakan pada 5 hingga 7 Sept di kawasan bahagian barat Sarawak terutama di Sri Aman, Samarahan, dan Kuching.

Sementara itu, JAS memaklumkan terdapat kejadian kebakaran tapak pelupusan sampah haram di Selangor dilaporkan manakala kebakaran belukar tanah gambut di Kuala Baram, Miri Sarawak dan di Kuala Manis, Pekan, Pahang kembali berasap dan boleh menyebabkan keadaan sekitar berjerebu.

"Tindakan pencegahan dan pemadaman telah dilakukan oleh oleh pihak bomba dan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura pada 5 Sept lepas, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 19 melaporkan 203 titik panas dikesan di Sumatera, Kalimantan (811) dan lapan titik panas dikesan di Malaysia iaitu satu di Johor dan tujuh di Sarawak, kata JAS.

Peta Jerebu Serantau yang dikeluarkan oleh ASMC turut menunjukkan terdapat lingkaran asap jerebu dari kawasan-kawasan kebakaran tanah dan hutan di Riau, Jambi, selatan Sumatera dan Lampung dan lingkaran asap bergerak ke arah Selat Melaka dan memasuki ke arah Semenanjung Malaysia, jelasnya.

Arah pergerakan angin dari arah tenggara ke barat daya telah membawa asap jerebu dari kawasan Sumatera dan Kalimantan yang terjejas ke kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia dan di barat Sarawak dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan tersebut, menurut kenyataan itu lagi.

"JAS telah meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan-kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!