Sambut tetamu dengan akhlak yang baik: Mufti WP
SHAH ALAM - Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberi nasihat agar masyarakat tampil dengan akhlak yang baik ketika menjadi tuan rumah susulan pasca kemenangan Malaysia menentang Indonesia kelmarin.
Menerusi muat naik artikel di laman sesawangnya, Dr Zulkifli juga meminta seluruh penyokong Harimau Malaya supaya mencontohi akhlak dan kebesaran jiwa Rasulullah SAW.
"Di kesempatan ini juga ingin kami gunakan untuk menyeru seluruh penyokong Harimau Malaya untuk tampil dengan akhlak yang baik saat kita sebagai tuan rumah melayan penyokong pasukan pelawat nanti.
"Ketinggian akhlak kita cerminan ketinggian mentaliti rakyat berkelas tinggi dunia. Contohilah akhlak dan kebesaran jiwa baginda Rasulullah SAW. Semoga ukhuwah Islamiah kita akan terus subur. Insya-ALLAH," katanya dalam artikel berkenaan.
Beliau pada masa sama mengucapkan tahniah buat skuad Harimau Malaya setelah berjaya membawa pulang tiga mata amat berharga dari Gelora Bung Karno.
"Sekalung tahniah kami ucapkan buat skuad Harimau Malaya yang berjaya meraih kemenangan dari gelanggang keramat pasukan lawan.
"Perlawanan yang telah berlangsung semalam telah menyaksikan bahawa skuad Harimau Malaya telah didahului skuad Indonesia sebanyak dua kali.
"Namun keterujaan kami adalah apabila skuad Harimau Malaya mampu bangkit semula seterusnya berjaya memenanginya," katanya.
Dalam artikel berkenaan juga, Zulkifli turut menggariskan beberapa perkara yang yang menjadi sebab anak didik Tan Cheng Hoe itu layak memenangi perlawanan semalam antaranya semua pemain berjaya mengawal emosi sepanjang permainan biarpun ditekan di dalam dan luar padang oleh pemain dan puluhan ribu penyokong Indonesia.
Menurut Dr Zulkifli, pemain Harimau Malaya mempamerkan semangat tidak putus asa dalam usaha memburu gol sehingga wisel penamat.
"Sebagai contoh, Syafiq Ahmad, pemain tengah yang kerapkali turun naik akhirnya telah berjaya menjaringkan gol penyamaan kedua hasil kesungguhannya.
"Kebijaksanaan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe yang cepat membaca tempo dan taktikal pihak lawan serta bijak membuat percaturan memasukkan segera Muhamadou Sumareh telah memberi impak apabila pemain itu menjaringkan gol penyamaan pertama dan gol kemenangan skuad Harimau Malaya," katanya.
Jelasnya walaupun tampak sedikit gugup dan goyah separuh masa pertama, barisan pertahanan skuad Harimau Malaya berjaya menyerap asakan, memperbaiki permainan dan persefahaman di separuh masa kedua.
"Tahniah kepada kapten Farizal Marlias dan barisan pertahanan yang telah berjaya menidakkan sebarang gol buat Indonesia di separuh masa kedua permainan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!