Hubungan baik Kedah-China tarik pelabur asing
ALOR SETAR - Hubungan baik Kedah dengan negara China terutamanya dalam bidang ekonomi dijangka mampu memberikan lebih banyak kebaikan terutamanya dalam kehadiran bakal pelabur yang lebih ramai ke negeri ini pada masa hadapan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, reputasi Malaysia dan Kedah juga baik di negara tembok besar itu malah sering disebut-sebut di kalangan pemimpin-pemimpin mereka termasuk masyarakat di sana.
Menurutnya, perkembangan tersebut secara tidak langsung membuka lebih luas peluang pekerjaan dan perniagaan kepada rakyat di negeri ini hasil pelaburan dalam pelbagai bidang seperti teknologi tinggi dan pemakanan.
"Sudah dua kali saya melawat negara China dan merasa bangga kerana nama Malaysia disebut-sebut oleh pemimpin termasuk masyarakat di sana. Nama negeri Kedah juga disebut-sebut disebabkan oleh produk makanan kita seperti durian dan sarang burung walit.
"Rupa-rupanya mereka minat dengan durian Musang King kita, mereka kata durian-durian kita lebih baik dari negeri lain mahupun negara lain.
"Termasuk juga sarang burung walit yang kita eksport ke negara mereka dan disambut baik oleh pasaran-pasaran mereka," katanya semasa merasmikan Pesta Kebudayaan Cina Malaysia ke-36 di Alor Setar malam tadi.
Mukhriz berkata, beliau turut mengakui hubungan baik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pemimpin negara tembok besar itu turut menyumbang kepada perkembangan positif berkenaan malah turut mengeluarkan beberapa kenyataan mempertahankan kedaulatan negara itu selepas adanya tekanan daripada kuasa-kuasa asing.
Dalam ucapan itu juga, beliau turut menegaskan keunikan masyarakat yang berbilang kaum di negara ini antara salah satu kunci kejayaan dalam memajukan negara yang berjaya dicapai oleh Malaysia pada hari ini.
"Kita telah membuktikan kepada British bahawa negara yang berbilang kaum ini dapat merdeka, menguruskan, mentadbir, memimpin dan memajukan negara sampai tahap membanggakan dalam keadaan majmuk.
"Ada Melayu, Cina, India dan suku-suku kaum di Sabah dan Sarawak. Ada juga masyarakat Siam.
"Semua ini dapat digabungkan tanpa berlaku apa-apa pertelingkahan yang mana membuktikan bahawa dengan perpaduan inilah Malaysia semakin aman dan semakin makmur," katanya.
Pesta Kebudayaan Cina Malaysia berlangsung setiap tahun sejak 1984 dan Kedah pernah dua kali menjadi tuan rumah iaitu pada tahun 1993 dan 2008.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!