Penduduk Kuantan harap suasana perlombongan bauksit selamat

SOP aktiviti perlombongan bauksit telah berkuatkuasa.
SOP aktiviti perlombongan bauksit telah berkuatkuasa.
A
A
A

KUANTAN - Penduduk daerah ini berharap pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Aktiviti Perlombongan dan Pengekportan Bauksit Pahang yang berkuat kuasa kelmarin dapat menjamin suasana perlombongan lebih selamat dan sihat.

Pengerusi Pertubuhan Gagasan Dua Generasi, Jefri Salim, 42, berkata, pihaknya menyambut baik keputusan kerajaan memuktamadkan SOP setelah hampir empat tahun menanti aktiviti itu beroperasi semula.

"Aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit yang akan dijalankan tidak mendatangkan kesukaran kepada mana-mana pihak sama ada pihak pengusaha, pemilik tanah mahupun kepada masyarakat setempat.

"Kita berharap pematuhan alam sekitar juga ada dalam SOP berkenaan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Felda Bukit Goh di sini.

Beliau turut berharap agar kerajaan dapat menyelesaikan isu perjanjian lama antara pemilik tanah dan pengusaha lombong bagi mengelak berlakunya masalah pada masa akan datang.

Menurutnya, isu berkenaan perlu diselesaikan terlebih dahulu kerana ia melibatkan pertindihan kepentingan pemilik tanah.

"Perjanjian lama yang masih belum dipastikan statusnya dan perlu diberi perhatian sebelum kerajaan meluluskan lesen melombong.

“Kerajaan kena selidik dulu pemilik-pemilik tanah yang masih lagi ada agreement (perjanjian). Kita sebolehnya tidak mahu berlaku masalah seperti perebutan kawasan pergaduhan, pemilik-pemilik tanah diambil tindakan undang-undang.

Artikel Berkaitan:

“Kalau boleh saya mahu kebajikan pemilik-pemilik tanah dapat dijaga sebaik mungkin apabila operasi bauksit bermula,” katanya.

Jefri berkata, pertubuhan yang dinaungi itu juga akan memantau semua pihak yang berkepentingan supaya mematuhi SOP yang telah dimuktamadkan.

JEFRI, AHMAD FAIZAL & NORSIFAH
JEFRI, AHMAD FAIZAL & NORSIFAH

Khamis lalu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengumumkan SOP aktiviti perlombongan dan pengeksportan bauksit sudah berkuat kuasa.

Perkara itu dimuktamadkan pada sesi perjumpaan khas Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung, Kuala Lumpur.

Kerjasama antara Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli dengan kerajaan Pahang mencakupi empat aspek utama meliputi komitmen tinggi bagi memastikan pelaksanaan aktiviti perlombongan secara mapan.

Ia turut merangkumi aspek menguruskan dengan teratur permohonan berhubung kegiatan perlombongan dan pengeksportan nadir bumi itu.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Bukit Goh, Ahmad Faizal Ramli berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan memuktamadkan SOP berkaitan perlombongan bauksit, bagaimanapun mahu agar kepentingan penduduk diberi keutamaan.

Katanya, kawalan dari segi debu bauksit perlu dilaksanakan bagi elak pencemaran berulang seperti beberapa tahun lalu.

“Masalah ini (debu) membimbangkan penduduk terutamanya peniaga gerai makan yang berdepan dengan masalah habuk.

“Apabila SOP ini terlaksana, saya haraplah pengusaha yang terlibat dapat melaksanakan sebaik mungkin dan memberi kerjasama baik pada penduduk kampung,” katanya.

Bagi peniaga gerai makan, Norsifah Mohamed, 48, berkata, sekiranya aktiviti bauksit dijalankan, ia pasti akan mengundang keadaan yang seperti dahulu iaitu debu merah berterbangan hingga mengganggu peniaga sepertinya.

Bagaimanapun, Norsifah tetap beranggapan sebaik mana sekalipun SOP tetapi jika tidak ada pemantauan dan ketegasan pihak berkuasa, ia hanya tinggal SOP semata-mata.

“Kalau boleh tidak mahu ada bauksit lagi. Nak keluar pergi jalan pun susah, banyak habuk.

“Jadi, harap sangat SOP yang berkuatkuasa itu dilaksanakan sebaiknya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!