'Dakwaan PKR tolak al-Quran pembohongan UMNO'

Mejar (B) Ismail (empat dari kiri) dan Dr Azman (enam dari kiri) bersama lebih 15 wakil PKR Cabang Kuala Kedah, Alor Setar, Pokok Sena, Jerlun dan Padang Terap membuat laporan polis di IPD Kota Setar, di sini, hari ini.
Mejar (B) Ismail (empat dari kiri) dan Dr Azman (enam dari kiri) bersama lebih 15 wakil PKR Cabang Kuala Kedah, Alor Setar, Pokok Sena, Jerlun dan Padang Terap membuat laporan polis di IPD Kota Setar, di sini, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Noran Zamini Jamaluddin bahawa PKR melarang al-Quran dalam video ceramahnya yang tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp adalah pembohong yang direka-reka.

Ahli Parlimen Kuala Kedah, Dr Azman Ismail berkata, penularan video ceramah Noran Zamini membuat tuduhan itu mengakibatkan timbul keresahan dalam kalangan masyarakat yang mempersoalkan akidah dan kepercayaan seluruh umat Islam dalam PKR.

Beliau yang juga Ketua Cabang PKR Kuala Kedah berkata, pihaknya amat kesal memandangkan kenyataan Noran Zamini kononnya PKR telah mengeluarkan kenyataan media bahawa parti itu menolak al-Quran sebagai kitab sebenar tidak benar.

"Untuk makluman, semua yang didakwa Noran Zamini itu tidak pernah dikeluarkan mana-mana pihak berautoriti daripada PKR.

"Akibat penularan video ceramahnya, akidah pemimpin Islam dalam PKR turut dipersoalkan hingga timbulnya isu kafir-mengkafir sedangkan ia adalah pembohongan yang direka-reka," katanya ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, di sini, hari ini.

Menurutnya, kenyataan dilemparkan penceramah berkenaan disifatkan amat serius memandangkan ia dibimbangi menimbulkan keresahan, sekaligus dikhuatiri mengganggu ketenteraman awam.

"Apatah lagi, kami difahamkan penceramah ini dikatakan merancang melakukan road show ke seluruh negeri dan negara, sekaligus dikhuatiri mengakibatkan lebih banyak ketegangan dalam kalangan masyarakat," katanya

Susulan itu, katanya, pihaknya membuat laporan polis ke atas Noran Zamini, sekaligus mengharapkan siasatan dan tindakan diambil atas provokasi dilakukan itu.

Artikel Berkaitan:

Manakala, Pengerusi Biro Strategi PKR Kedah, Mejar (B) Ismail Jr Feisol berkata, pihaknya menyedari penularan rakaman berkenaan lebih kurang jam 3 petang pada Khamis lepas selepas menerima kiriman video melalui WhatsApp daripada individu tidak dikenali.

Menurutnya, pihak membuat laporan polis ke atas Noran Zamini susulan mengeluarkan kenyataan fitnah dan tidak betul hingga mengakibatkan keresahan awam.

Beliau berkata, isu agama tidak seharusnya digunakan individu berkenaan untuk digunakan sebagai modal politik dan menabur fitnah.

Sehingga kini, video ucapan Noran Zamini yang disebarkan melalui Group Fokus Viral telah dikongsi sebanyak 4,500 kali, ditonton 226,000 kali, di Like 3,100 kali dan menerima 514 komen.

ARTIKEL BERKAITAN: Nik Nazmi buat laporan polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!