Jurutera jualan dipercayai terjun dari bilik hotel

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang jurutera jualan yang bekerja di Singapura ditemui mati dalam keadaan cedera seluruh badan di aras 11 sebuah hotel di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, mangsa yang juga lelaki tempatan berusia 32 tahun dipercayai terjun dari bilik hotel disewanya.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 3.43 pagi sebelum mayat mangsa ditemui kakitangan hotel berkenaan kira-kira jam 7.45 pagi.

“Mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah di aras 11 hotel yang mana aras itu turut menempatkan bilik mesyuarat, gimnasium serta kolam renang.

“Pemeriksaan pada mayat mangsa mendapati terdapat kecederaan di bahagian muka, leher sebelah kiri, paha sebelah kiri selain dipercayai mengalami patah kaki dan tangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shahurinain berkata, berdasarkan keterangan, mangsa didapati telah mendaftar masuk ke hotel berkenaan kira-kira jam 10.34 malam semalam.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum kejadian turut merakamkan suspek ada meninggalkan bilik beberapa kali sebelum pulang semula bersama seorang wanita pada jam 2.37 pagi.

“Rakaman CCTV pada jam 3.43 pagi kemudian menyaksikan mangsa telah keluar seorang diri dari bilik penginapannya dalam keadaan memakai baju T tanpa kolar berlengan pendek warna hitam dan berseluar dalam warna hitam.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa juga didapati berjalan kaki dalam keadaan tergesa-gesa dan terus memanjat tembok kaki lima hotel yang tingginya lebih kurang empat kaki lalu terjun ke bawah,” katanya.

Tambah Shahurinain, hasil pemeriksaan dalam bilik mangsa kemudian menemui beberapa tin minuman keras dan satu straw warna hitam bersama sedikit serbuk putih dipercayai dadah.

“Keluarga mangsa telah dikesan yang turut mendakwa mangsa memang tinggal bersama keluarganya.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk dibedah siasat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!