Apa perlu pertikai keputusan Anwar?
PASIR PUTEH - Seluruh ahli termasuk barisan kepimpinan PKR tidak sewajarnya mempertikaikan tindakan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
Ketua PKR Cabang Pasir Puteh, Ismail Mohamad berkata, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak sepatutnya meminta pelantikan jawatan utama parti itu diteliti semula.
Kenyataan itu seperti memperlekehkan kewibawaan Anwar dalam memperkasakan PKR.
"Ada peruntukan dalam perlembagaan parti untuk presiden melantik sesiapa sahaja menjadi ahli MPP.
"Saya yakin Anwar jujur dalam memilih barisan kepimpinan untuk meneruskan perjuangan parti dan saya juga yakin dengan kemampuan pimpinan yang dilantik," katanya.
Katanya, kekuatan PKR itu sendiri banyak terletak kepada dorongan kuat Anwar yang sentiasa mengambil berat perkembangan parti.
Menurutnya, banyak permasalahan parti diselesaikan Anwar dengan cara yang cukup berhemah.
"Saya menyeru kepada semua ahli Majlis Pimpinan Negeri berlapang dada untuk menerima tindakan Anwar dan istiqamah dalam perjuangan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Kembali Ke Sekolah yang membabitkan 130 murid di Pejabat PKR Cabang Pasir Puteh, hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!