Bapa lemas selamatkan anak
KUANTAN - [DIKEMASKINI] Seorang pengurus syarikat pemasaran Chong Aun Guan, ditemukan lemas di Air Terjun Chamang, Bentong, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Yusuf Unis berkata pada kejadian sekitar 12.30 tengah hari itu, mangsa, 48, dipercayai baharu menyelamatkan anak lelakinya yang berusia 14 tahun yang hampir lemas.
“Mangsa yang tinggal di Shah Alam, Selangor difahamkan datang berkelah di air terjun itu bersama ahli keluarganya hari ini, sebelum anaknya dilihat terkapai-kapai di permukaan air.
“Mangsa yang juga sedang mandi terus menolak anaknya ke arah tepi air terjun yang berbatu sebelum dilihat seperti sukar untuk berenang, menyebabkan isterinya menjerit meminta tolong daripada orang awam,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.
Yusuf berkata orang ramai dapat menarik mangsa yang difahamkan terapung di permukaan air dan cuba memberi bantuan pernafasan, namun mangsa dipercayai telah meninggal dunia.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!