Agong nikmati teh tarik di Pasar Kea Farm
CAMERON HIGHLANDS - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mencemar duli menikmati teh tarik di Pasar Kea Farm di sini, hari ini.
Seri Paduka tiba di sebuah kedai di pasar yang terkenal di tanah tinggi itu, kira-kira pukul 11.30 dengan mengenakan kemeja T berwarna biru dan seluar kelabu.
Menemani Yang di-Pertuan Agong adalah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Salehuddin Ishak dan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin serta pemilik kedai.
Istana Negara turut memuat naik sekeping gambar Al-Sultan Abdullah menikmati minuman kegemaran rakyat Malaysia itu di dalam laman Instagram dan ia mendapat pujian para netizen.
Difahamkan, Al-Sultan Abdullah menzahirkan hasrat untuk menaik taraf kedai dan gerai di Kea Farm.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli meninjau tapak pencerobohan haram Sungai Ichat di Kuala Terla.
Rabu lepas, Seri Paduka juga telah mengejutkan pelanggan di restoran Nasi Lemak Royale Kedah di Putrajaya apabila berkenan mencemar duli bersantap pagi di restoran itu.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!