Wujudkan skim pencen persendirian

Barjodai
Barjodai
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan supaya mewujudkan satu skim pencen persendirian atau swasta di mana pengurusan dana endowmen dilakukan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau syarikat takaful.

Profesor ekonomi di Universiti Tun Abdul Razak, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, cadangan tersebut adalah bagi memastikan penjawat awam akan terus menikmati pencen selepas tamat perkhimatan masing-masing.

"Daripada kerajaan membayar kepada penjawat awam tambahan gaji atau elaun hasil tambah baik skim kontrak yang menggantikan skim pencen seperti yang dicadangkan, adalah lebih baik kerajaan mewujudkan skim pencen persendirian atau swasta yang boleh diuruskan oleh KWSP atau syarikat takaful atau insurans.

"Ini memastikan penjawat awam boleh terus memiliki pencen yang dibayar oleh sektor swasta, bukan lagi dari pihak kerajaan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Borhan Dolah membuat kenyataan bahawa mulai tahun depan (2020), lantikan baharu dalam perkhidmatan awam mungkin tidak lagi dibuat dibawah skim tetap dan berpencen sebaliknya digantikan dengan skim lantikan kontrak yang ditambahbaik.

Beliau berkata, langkah itu diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa khas pembaharuan perkhidmatan awam pada Oktober 2018 yang mahukan perkhidmatan awam dikecilkan secara berfasa dan berdasarkan keperluan, selain mengurangkan bebanan pencen yang kini mencecah RM28 bilion.

ARTIKEL BERKAITAN: Skim lantikan kontrak ditambahbaik ganti skim latihan tetap, berpencen

Jelasnya, alasan mengapa selama ini kerajaan perlu membayar pencen kepada penjawat awam kerana pada 50 tahun lalu kerajaan belum bersedia mewujudkan dana endowmen sebagai persediaan untuk membayar pencen kepada penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

"Tapi kalau sekarang dana endowmen ini dimulakan, saya yakin kerajaan mampu melakukannya," katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan sekarang, objektif utama untuk berjimat dari menanggung kos bayaran pencen RM28 bilion masih tidak akan tercapai.

"Kalau pun kerajaan melaksanakannya hari ini, sebenarnya ia tidak membebaskan kerajaan daripada bebanan pencen RM28 bilion itu kerana untuk penjawat awam yang sudah berpencen, mereka akan terus dibayar pencen.

"Jadi RM28 bilion itu belum boleh dijimatkan dalam masa yang terdekat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!