TPM bimbang masyarakat ketagih gajet

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra dengan sebahagian penuntut yang hadir pada Majlis Pelancaran Program Awas Media Sosial dan Permainan Dalam Talian (AWASpada) Keselamatan Siber di Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak hari ini. Foto: Bernama
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail beramah mesra dengan sebahagian penuntut yang hadir pada Majlis Pelancaran Program Awas Media Sosial dan Permainan Dalam Talian (AWASpada) Keselamatan Siber di Pusat Kebudayaan UIAM Kampus Gombak hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menzahirkan kebimbangan dengan sikap masyarakat yang kini dilihat begitu terikat dengan gajet dan peranti digital untuk memperoleh maklumat serta berkomunikasi, tanpa mengendahkan dunia fizikal di sekeliling mereka.

Beliau berkata bagaikan sudah menjadi satu lumrah apabila melihat sekelompok remaja atau sekumpulan dewasa terdiri daripada rakan-taulan atau keluarga yang duduk bersama namun tidak berkomunikasi antara satu sama lain.

“Situasi sebegini jelas menceritakan bahawa mereka lebih selesa untuk berkongsi dan bertukar maklumat serta meluahkan perasaan di alam siber berbanding di dunia realiti.

“Lebih membimbangkan lagi apabila kanak-kanak seawal usia dua hingga tiga tahun telah mula bermain gajet atau peranti digital seperti tablet dan telefon pintar, seolah-olah peralatan ini telah menjadi peneman atau pengasuh selain ibu bapa dan penjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Produktiviti Bersama Komuniti dan pelancaran Buku Panduan AWASpada (Awas Media Sosial dan Permainan Dalam Talian) di sini hari ini.

“Ibu bapa harus sedar bahawa gajet bukanlah ‘pengasuh’ kedua untuk anak-anak mereka. Berkomunikasi bersemuka adalah lebih baik berbanding anak-anak dibiarkan bersendirian merenung imej ataupun animasi di skrin tablet,” kata Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Beliau berkata Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di bawah kementerian itu telah mengadakan pelbagai program bagi menggalakkan ibu bapa dan keluarga bijak menggunakan gajet dalam berkomunikasi dan meningkatkan hubungan kekeluargaan.

Dr Wan Azizah seterusnya berkata masalah ‘digital drug’ (dadah digital) berlaku apabila seseorang individu menghabiskan masa lebih daripada empat jam menggunakan internet untuk sesuatu perkara yang tidak ada kaitan dengan pekerjaan atau pembelajaran.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, satu kajian menunjukkan bahawa penggunaan internet yang ekstrem iaitu melebihi enam jam sehari memberi kepuasan dan kesejahteraan hidup yang rendah berbanding penggunaan internet yang sederhana selama satu hingga dua jam sehari.

Merujuk kepada Kajian Pengguna Internet 2018 yang dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pula, beliau berkata ia mendapati purata tempoh melayari internet di Malaysia adalah 6.6 jam sehari, dengan 93.1 peratus pengguna mengakses internet melalui telefon pintar.

Timbalan perdana menteri berkata penggunaan internet yang ekstrem boleh mengakibatkan penggunanya menjadi ketagih sehingga mengancam kesihatan fizikal dan mental.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!