'Kami diprovoke, dibaling batu dan botol air kencing'
SHAH ALAM - "Mereka mula 'provoke' kami dari mula ketibaan di luar stadium lagi. Ada yang sudah baling batu ke arah kami."
Itu kata salah seorang penyokong bola sepak negara yang hadir menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Indonesia di Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis lalu.
Mohd Zulraini Mohd Zakri, 39, berkata, mereka menaiki enam bas yang sepatutnya diletakkan di luar stadium dan kemudian berjalan kaki untuk masuk.
Bagaimanapun katanya, penyokong lawan mula membuat provokasi dengan kata-kata tidak sepatutnya hingga memaksa mereka masuk semula ke dalam bas.
"Mereka (penyokong Indonesia) mula baling batu ke arah kami, 'provoke' dengan kata-kata. Kami masuk ke dalam stadium kira-kira jam 4.30 petang tanpa tunjuk tiket langsung. Masa itu kami sudah merasakan sesuatu yang tidak sedap berlaku.
"Lepas kami dapat masuk stadium, kami tetap berhati-hati dan kemuncaknya semasa kedudukan jaringan 2-2. Masa itu ada antara mereka sudah masuk dalam padang. Kami dibaling dengan botol berisi air kencing, powerbank, suar, pemetik api dan beberapa lagi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Menceritakan detik itu, Zulraini berkata, balingan suar menyebabkan salah seorang daripada mereka mengalami sesak nafas dan pengsan sebelum dikejarkan ke hospital.
Malah katanya, dia sendiri mengalami retak siku kiri dalam insiden terbabit.
"Selepas tamat perlawanan, penyokong Malaysia sukar keluar dari stadium apabila dikepung penyokong lawan. Kami semua dikumpulkan di laluan khas untuk tunggu keadaan sedikit tenang dan terpaksa menunggu lebih dua jam di situ.
"Akhirnya kami berjaya keluar menaiki bas kira-kira jam 1 pagi dengan diiringi barracuda untuk terus bertolak ke lapangan terbang," katanya.
Zulraini menganggap perlawanan tempoh hari merupakan keadaan yang amat mengerikan pernah dihadapinya sepanjang menyaksikan perlawanan Malaysia.
"Semua orang tahu peminat bola sepak fanatik Indonesia. Kita tidak akan berbuat seperti itu kerana ia tindakan melampau," katanya.
Terdahulu, sejumlah penyokong Indonesia menyerang kawasan tempat duduk penyokong skuad Harimau Malaya yang sedang menyaksikan pertarungan pasukan bola sepak kedua-dua negara pada aksi pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Gelora Bung Karno.
Akibat insiden berkenaan, pengadil dari Korea Selatan, Ko Hyungjin terpaksa menghentikan perlawanan itu pada minit ke-69.
Perlawanan antara skuad Garuda dan Harimau Malaya ini terpaksa dihentikan kira-kira lapan minit.
Tamat perlawanan menyaksikan skuad Harimau Malaya menang 3-2 menewaskan Indonesia.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!