Jual ikan 'online' dapat sambutan

No Image Caption
A
A
A

JERLUN - Jualan ikan secara dalam talian yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) mendapat sambutan memberangsangkan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, sejak dilancarkan pada 30 Julai lalu, pihaknya telah mencapai nilai jualan sebanyak RM5,000 melalui platform berkenaan.

Katanya, jualan atas talian melalui Nekmatbiz itu adalah salah satu cara untuk memendekkan rantaian bekalan tanpa melibatkan orang tengah.

"Lagipun sekarang ini jualan atas talian lebih menjadi pilihan pengguna dan juga penjual untuk meningkatkan jualan," katanya kepada pemberita selepas Program kibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Malaysia bersama nelayan di Jeti Kuala Jerlun di sini.

Muhammad Faiz (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil keluarga Allahyarham Azimat Hasan yang maut akibat jatuh laut ketika tempias taufan Lekima baru-baru ini.
Muhammad Faiz (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada wakil keluarga Allahyarham Azimat Hasan yang maut akibat jatuh laut ketika tempias taufan Lekima baru-baru ini.

Menurutnya, mereka kini beroperasi di Taman Wahyu Kuala Lumpur yang mana penghantaran akan dibuat kepada pelanggan di sekitar kawasan terbabit.

"Insya-ALLAH, jika tiada halangan kita akan melebarkan rantaian ke negeri-negeri lain melalui Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) di utara dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Besut di timur," katanya.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, sehingga kini seramai 34,000 nelayan di seluruh negara menerima elaun bulanan yang bertujuan untuk membantu meringankan kos nelayan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya turut menjalankan proses pemutihan yang berjalan dari semasa ke semasa untuk memastikan hanya nelayan yang layak menerima elaun terbabit.

"Kita berharap ekonomi negara segera pulih supaya elaun nelayan dapat ditingkatkan semula kepada RM300 sebulan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!