Pegawai JUSA turun padang cat asrama Darul Kifayah

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Asrama pelajar perempuan Darul Kifayah yang dahulunya pudar bertukar ceria selepas dicat dengan warna merah jambu oleh pegawai Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) semalam.

Seramai 56 pegawai JUSA yang mengikuti kursus Advance Leadership and Management Programme (ALMP) sejak 23 Ogos lalu berkampung di Darul Kifayah selama sehari untuk menyempurnakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu.

Ketua Program CSR Darul Kifayah ALMP, Ir Dr Khairul Azmy Kamaluddin berkata, pihaknya mengambil masa seminggu untuk mengatur program yang merupakan salah satu slot perlu disempurnakan pada kursus yang berlangsung selama sebulan.

"Dalam tempoh satu minggu kami memilih lokasi Darul Kifayah yang bersesuaian dengan projek CSR, mengumpul dana dari kalangan peserta sendiri dan mencari penaja bagi menjayakan program.

Peserta ALMP Siri 63 No4/2019 bergambar beramai-ramai dalam program CSR yang diadakan semalam.
Peserta ALMP Siri 63 No4/2019 bergambar beramai-ramai dalam program CSR yang diadakan semalam.

"Disebabkan masa terhad, kami pecahkan pasukan kepada tujuh kumpulan yang setiap satu akan mengecat satu asrama dibantu oleh pelajar kursus Teknologi Binaan Bangunan Institut Kemahiran Baitumal (IKB)," katanya pada program CSR ALMP di Darul Kifayah Taman Koperasi Polis di sini semalam.

Turut hadir Perunding Latihan Kanan Kursus ALMP, Dr Inas Zulkipli dan Ketua Kursus ALMP JUSA, Abdul Aziz Selaiman.

Khairul Azmy berkata, program CSR itu juga turut melibatkan pengisian slot motivasi dan latihan keselamatan menggunakan alat pemadam api oleh pegawai bomba dari JUSA.

Artikel Berkaitan:

Pegawai JUSA fokus mengecat projek CSR di Darul Kifayah di Taman Koperasi Polis di sini semalam.
Pegawai JUSA fokus mengecat projek CSR di Darul Kifayah di Taman Koperasi Polis di sini semalam.

"Pengisian motivasi adalah inisiatif kami mendekati penghuni asrama anak yatim ini yang memerlukan perhatian dan kasih sayang. Sumbangan kecil ini diharapkan memberikan impak besar kepada anak-anak Darul Kifayah.

"Saya sarankan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) yang ingin membuat program CSR di sini untuk memberikan penekanan dalam aspek moral dan rohaniah kepada penghuni asrama dalam menghadapi dunia yang semakin mencabar," katanya.

Sebelum dan selepas kerja mengecat dilakukan.
Sebelum dan selepas kerja mengecat dilakukan.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, peserta kursus telah menyempurnakan tugasan penganjuran sukan, CSR, perjumpaan bersama menteri dan berbaki majlis makan malam sebelum mengakhiri kursus dijadualkan 21 September ini.

"Kursus ini melibatkan pakej komprehensif khusus bagi pegawai tertinggi kerajaan untuk pemantapan aspek pentadbiran, kerja sebagai satu pasukan tanpa mengabaikan keperluan rakyat.

"Selain kursus dan pembentangan dalam kelas, kami perlu mengadakan program luar kelas yang berjaya disempurnakan secara semangat berpasukan. Menyusul adalah majlis makan malam," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!