Ben Bayyah dan dakwah kedamaian

A
A
A

DALAM satu syarahan perdana pada 3 September 2019 di The Everly Hotel Putrajaya, antara lain Syeikh Dr. Abdallah bin Syeikh al-Mahfudz bin Bayyah berkata: “Alam yang kita hidup sekarang adalah alam di mana masyarakat manusia menjadi satu dengan pelbagai agenda dan pelbagai nama. Secara realitinya kita pada zaman ini hidup dalam satu masyarakat tunggal yang tamadunnya bercampur aduk, kebudayaannya bersilang ganti, masing-masing saling bergantung di antara satu sama lain. Demikianlah satu ciri daripada ciri-ciri masyarakat kontemporari.

Setiap golongan bergantung kepada yang lain dalam ekonomi, kebudayaan dan ilmu. Tiada satu mata wang pun melainkan setiap satunya bergantung kepada mata wang lain, setiap ekonomi bergantung kepada ekonomi yang lain, setiap universiti juga bergantung kepada universiti yang lain, tiada satu negara pun melainkan ia bergantung kepada negara lain. Inilah yang saya namakan al-I’timad al-mutabadil atau kebergantungan bersama atau pun hubungan saling bergantung dan berkait.

Hal ini tidak khusus kepada sesebuah negara tertentu sahaja, sebaliknya ia merangkumi seluruh dunia. Inilah satu hakikat yang kita mesti faham dan kita mesti berinteraksi dengannya secara agama dan secara adat. Tanpa memahami hakikat ini, kita akan tersilap dalam mencerap. Bila kita tersilap cerapan, maka kita juga akan tersilap dalam menentukan hukum dan keputusan yang berkaitan dengannya.”

Akhir-akhir ini segolongan orang kita di Malaysia telah memulakan kempen boikot produk orang bukan Islam. Bau yang paling kuat dihidu awalnya ialah bau perkauman. Setelah dikecam dan dipersoalkan daripada segi kebolehlaksanaan dan kesesuaian kempen itu, akhirnya ia ditukar kepada kempen utamakan produk Muslim. Namun niat asal sudah diketahui.

Hakikatnya, sebagai mana ditegaskan oleh Syeikh Ben Bayyah seperti di atas, tiada satu kaum atau penganut agama pada zaman kini boleh berdiri sendiri tanpa mengharap atau bergantung kepada kaum atau penganut agama lain. Hal itu tidak dapat dielakkan dalam hampir semua aspek kehidupan dan di semua negara seluruh dunia. Dalam keributan kempen berbau perkauman yang dimulakan parti-parti pembangkang (dan juga kumpulan-kumpulan keagamaan yang cuba memperkudakan parti-parti tertentu) yang terdesak merayu sokongan rakyat sebangsa dan seagama selepas kekalahan dalam PRU yang lepas, Syeikh Ben Bayyah tiba dengan dakwah kedamaian dan rahmah untuk semua.

Syeikh Ben Bayyah tiada sebarang kepentingan politik untuk diraih di negara ini, sebaliknya beliau telah memimpin arus dakwah kedamaian dan keamanan sejak lebih sedekad yang lalu. Inisiatif kedamaian itu diperteguhkan lagi dengan penubuhan Muntada Ta’ziz al-Silmi fi al-Mujtama’at al-Muslimah (Forum Mempromosi Keamanan Dalam Masyarakat Muslim) pada 2014.

Satu deklarasi besar telah dilahirkan hasil daripada sebuah persidangan yang dianjurkan bersama oleh Muntada, yang berpengkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Maghribi pada 25-27 Januari 2016 di bawah naungan Raja Maghribi, Raja Muhammad VI. Persidangan yang diadakan di kota Marakesh itu melahirkan satu deklarasi yang diberi nama I’lan Marakesh li Huquq al-Aqalliyat al-Diniyah fi al-‘Alam al-Islami (Deklarasi Marakesh Terhadap Hak-hak Minoriti Agama Dalam Dunia Islam).

Syeikh Ben Bayyah dan lebih 200 orang ulama dan pemikir Islam, (termasuk lebih 30 menteri dan pegawai tinggi pelbagai negara Islam, puluhan wakil minoriti bukan Islam, wakil PBB, pertubuhan-pertubuhan antarabangsa serta wakil pertubuhan masyarakat sivil dalam dialog antara agama) telah memimpin satu usaha kedamaian tanpa menghajatkan sebarang pulangan duniawi. Ia semata-mata kerana menyambung dakwah Nabi Muhammad SAW yang menyeru kepada kedamaian dan keamanan untuk semua manusia tanpa mengira kaum atau agama.

Artikel Berkaitan:

Syeikh Ben Bayyah yang berasal dari Republik Islam Mauritania (99.9 peratus Muslim) dan tinggal di UAE yang majoritinya Muslim (76 peratus), manakala Maghribi juga negara majoriti terbesarnya Muslim (98.9 peratus), sepatutnya mereka tidak perlu berinisiatif untuk membela minoriti non-Muslim yang sangat kecil di kedua-dua negara itu. Umat Islam di negara-negara itu lebih mampu berdikari berbanding di negara ini. Tetapi kerana amanah dakwah Islam yang suci lagi murni yang mereka pikul dan dipertanggungjawabkan nanti, mereka menggerakkan inisiatif itu. Bagi mereka, Islam perlu dilihat sebagai agama yang mengutamakan keamanan dan kedamaian, sebagai mana asalnya ia diturunkan secara wahyu ke atas Nabi Muhammad SAW.

Bertepatan dengan gagasan rahmatan lil alamin yang dipelopori oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) berteraskan maqasid syariah untuk menuju kepada sebuah model negara rahmah, kehadiran Syeikh Ben Bayyah sangat tepat pada masanya dan sangat layak dianugerahi Tokoh Ma’al Hijrah Peringkat Antarabangsa 1441 Hijrah. Sementelah lagi, Syeikh juga adalah salah seorang sarjana ulung dalam bidang maqasid, maka pencalonan dan pemilihan itu sangat tepat.

Dakwah Islam di Malaysia yang selama ini dengan pelbagai versinya yang ekstrem, memerlukan satu pendekatan dakwah baharu yang rahmah bersifat ramah, aman, harmoni, mesra, alami dan hormat.

Pendekatan dakwah yang baharu inilah yang sedang digarap oleh kerajaan PH selari dengan dakwah kedamaian yang dipimpin oleh Syeikh Ben Bayyah, yang bersusur galur kepada ajaran sebenar al-Quran, al-Sunnah dan sirah sejarah perjuangan Rasulullah SAW.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!