Pesta tanglung bukan program keagamaan
PONTIAN - Lebih 1,500 pengunjung menghadiri pesta tanglung anjuran Gabungan Persatuan Tionghoa Daerah Pontian yang turut diserikan dengan persembahan tarian zapin, gendang India dan tarian kipas di Dataran Majlis Daerah Pontian malam tadi.
Pengerusi Gabungan Persatuan Tionghua Pontian, Datuk Tan Chin Hock, pesta tanglung bukan program keagamaan tetapi merupakan satu kebudayaan yang menarik dan boleh mewujudkan perpaduan terutama dalam kalangan generasi muda.
Menurutnya, penyertaan kumpulan tarian zapin dan tarian gendang India akan merapatkan hubungan antara kaum dalam kalangan generasi muda serta mengetahui aktiviti budaya yang dijalankan.
"Sebagai masyarakat yang hidup dalam negara berbilang kaum dan agama, setiap warganegara perlu ada sikap bersederhana dan tidak pentingkan diri sendiri," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang, Muhammad Taqiudddin berkata, Tahun Melawat Johor 2020 memerlukan lebih banyak program atau produk pelancongan berkaitan masyarakat tempatan untuk ditonjolkan.
"Penganjuran pesta tanglung yang disertai masyarakat berbilang kaum ini juga boleh menjadi antara produk pelancongan yang melambangkan penyatuan seterusnya menyerlahkan daerah Pontian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!