Melayu bukan pemalas: Pemuda UMNO

Mohd Hairi Mad Shah
Mohd Hairi Mad Shah
A
A
A

JOHOR BAHRU - Melayu bukannya pemalas malah semakin rajin berusaha, kata Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak habis-habis mengatakan orang Melayu adalah pemalas sedangkan beliau yang mendidik bangsa itu menjadi pemalas dengan budaya kronisme.

"Dalam keadaan ekonomi yang cukup menekan hari ini dengan kos sara hidup semakin tinggi, ramai Melayu terpaksa buat dua atau tiga kerja dan terpaksa bekerja siang, malam untuk memenuhi tuntutan hidup.

"Melayu yang malas ada dalam PH (Pakatan Harapan), Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan Amanah ( Parti Amanah Negara). Melayu pemalas juga ada dalam Kabinet Tun M," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Hairi mendakwa, Kabinet Dr Mahathir malas disebabkan Melayu atau menteri Melayu dalam PH malas dan takut mempertahankan bangsa Melayu, Islam dan Raja-Raja Melayu bila dihina.

"Melayu dalam PH malas mempertahankan pasukan keselamatan negara atau tentera yang dihina, dipersenda dan dilecehkan oleh ahli perniagaan yang kaya-raya.

"Melayu PH malas, ambil tahu apa masalah rakyat, asalkan gaji menterinya berpuluh ribu.

"Melayu dalam Kabinet Tun M juga malas ambil tahu perihal ekonomi yang kian mengucup di bawah Menteri Kewangan DAP dengan nilai mata wang yang terus merosot dan merudum," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau amat hairan dengan kenyataan Dr Mahathir tentang Melayu pemalas keluar ketika umat Islam yang rata-ratanya Melayu, bersatu hati bagi membangunkan ekonomi ummah dengan menggerakkan kempen beli barangan Muslim ketika mana bangsa Melayu ditekan dari segenap sudut di bawah pentadbiran PH.

"Tun M cukup-cukuplah tuduh Melayu bangsaku pemalas. Melayu tak pemalas tetapi hak Melayu sering dinafikan, hak Melayu sering dipersoalkan dan hak Melayu sering dicantas oleh kroni-kroni Tun M.

"Cukup-cukuplah Tun M kata Melayu pemalas, apakah dasar kerajaan pimpinan Tun M hari ini sudah tidak lagi mahu pedulikan Melayu," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!