Serangan 'gendang haji' boleh bawa maut
GUA MUSANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menasihati orang ramai terutamanya pemilik kebun agar berhati-hati dengan serangan tebuan tanah yang boleh meragut nyawa.
Pegawai APM Daerah Gua Musang, Mohd Yussalmi Mohd Yusoff berkata, serangan 15 hingga 20 sengatan tebuan tanah atau lebih dikenali dengan panggilan 'gendang haji' boleh mengakibatkan kematian.
"Sepanjang Ogos lalu, sebanyak 35 kes dilaporkan yang mana kehadiran tebuan lebih banyak pada musim buah-buahan.
"Sekiranya ternampak tebuan walaupun seekor, orang ramai perlu berhati-hati kerana ada sarang di kawasan berhampiran.
"Jika diserang, mangsa perlu mendapatkan rawatan segera di klinik dan hospital berdekatan untuk menerima vaksin," katanya.
Tambah Yussalmi, sebarang penemuan sarang tebuan perlu dilaporkan segera kepada pihaknya tanpa membuat tindakan sendiri yang boleh membahayakan nyawa.
Terdahulu, seorang warga emas meninggal dunia selepas disengat hampir 200 ekor tebuan di kebunnya Selasa dua minggu lalu.
Mohd Ghazali Awang, 67, yang menetap di perumahan Jabatan Perumahan Negara (JPN) di sini, diserang tebuan ketika sedang membersihkan kawasan kebunnya di Kampung Kuala Betis, Gua Musang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!