Jerebu: Kementerian pantau sekolah di Sarawak
JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan sedang memantau seluruh sekolah di Sarawak terutama murid yang menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) sangat tidak sihat pagi ini.
Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, Jabatan Pendidikan Sarawak akan mengambil langkah sewajarnya dalam memastikan keselamatan murid dan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada.
“Bagi Jabatan Pendidikan Sarawak, mereka akan ikuti SOP sedia ada. Kita (Kementerian Pendidikan) menunggu mereka yang ada di lapangan untuk memberikan perkembangan terkini,” katanya selepas merasmikan program ‘Merdeka Special Charity Run 2019’ di Pasir Gudang dekat sini hari ini.
Sehingga 12 tengah hari ini, bacaan IPU di Sri Aman sedikit meningkat berbanding 8.00 pagi, manakala Kuching dan Samarahan sedikit menurun, namun masih pada tahap sangat tidak baik
ARTIKEL BERKAITAN: Sri Aman catat IPU sangat tidak sihat
Ketua sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPBN) Sarawak, Mejar Ismail Mahedin dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak dilaporkan berkata, Sri Aman mencatatkan bacaan IPU 236 berbanding 229, Kuching (225 berbanding 232) dan Samarahan (202 berbanding 213).
Enam lagi kawasan yang berada pada tahap IPU tidak sihat menunjukkan peningkatan bacaan dengan Sarikei (174 berbanding 164), ILP Miri (142 berbanding 137), Sibu (181 berbanding 161) dan Miri (155 berbanding 149), S K Baram (115 berbanding 107) dan Mukah (109 berbanding 101).
Dalam pada itu, acara larian sejauh 3km bagi mengumpul dana pembinaan Dewan Terbuka Pendidikan Khas Sekolah Kebangsaan Kota Masai 2 itu disertai 2,000 orang dan turut mencatatkan rekod penyertaan orang kurang upaya (OKU) paling ramai dalam program ‘fun run’ di negara ini dengan seramai 1,200 orang.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!