14 Pati ditahan ketika cuba keluar dari Malaysia

PATI warga Indonesia yang ditahan APMM malam tadi.
PATI warga Indonesia yang ditahan APMM malam tadi.
A
A
A

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) menahan seramai 14 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warga Indonesia atas cubaan keluar dari negara ini melalui kawasan tidak diwartakan, kira-kira jam 10 malam tadi.

Pengarahnya, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kesemua mereka ditahan menerusi pemantauan dan serbuan yang dilakukan ketika sedang bersiap-siap untuk bergerak keluar daripada negara ini di pesisir pantai berhampiran Kompleks Rakan Muda Sukan Air dan Udara, Desaru di sini.

Menurutnya, kesemua PATI yang terdiri daripada lapan lelaki dan enam wanita itu berumur di antara 21 hingga 48 tahun.

''Kesemua suspek yang sedang menunggu bot untuk dibawa keluar dari Malaysia disyaki telah ditinggalkan sindiket berikutan kehadiran pihak berkuasa telah dihidu lebih awal oleh beberapa lelaki di pantai tersebut dan terus melarikan diri.

"Mereka ini disyaki adalah tekong darat yang mengatur ketibaan bot dan pengurusan membawa kesemua PATI ini keluar dari Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Zulfadli berkata, kesemua PATI disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu cuba keluar Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan.

"Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM10 ribu atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan mempertingkatkan lagi operasi seperti ini dan orang ramai diseru menjadi mata dan telinga dalam menyampaikan maklumat agar penguatkuasaan lebih berkesan.

Artikel Berkaitan:

"Ini kerana masalah ini sudah menjadi isu nasional yang menimbulkan kebimbangan rakyat kerana melibatkan aspek keselamatan sempadan dan keselamatan negara selain daripada keselamatan nyawa PATI itu sendiri semasa menaiki bot berikutan keadaan laut yang agak merbahaya buat masa sekarang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!