'Arwah abang sempat ziarah mak, ayah'

Keadaan Perodua Myvi dipandu mangsa remuk teruk dalam kejadian itu. Gambar kecil, Muhammad Fadzli.
Keadaan Perodua Myvi dipandu mangsa remuk teruk dalam kejadian itu. Gambar kecil, Muhammad Fadzli.
A
A
A

TANJONG KARANG - Pemandu kereta Perodua Myvi yang maut dalam kemalangan di Jalan Tali Air, Sawah Sempadan, di sini awal pagi semalam, sempat menziarahi ibu dan bapanya sebelum terlibat dalam kejadian itu.

Adiknya, Muhammad Sufian Muhammad Yusari, 22, berkata, Allahyarham abangnya, Muhammad Fadzli, 40, bertandang ke rumah keluarganya di Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang malam kelmarin.

Menurutnya, Allahyarham abangnya menziarahi ibu mereka, Jumiah Saman, 59, yang baharu selesai menjalani dialisis buah pinggang dan bapa, Muhammad Yusari Shuib, 69, yang terlantar akibat patah tulang antara pinggul dan paha selepas terjatuh di kebun minggu lalu.

"Sebelum kejadian, arwah abang sempat berjumpa emak dan ayah dan tak sangka selepas itu dia terlibat dalam kemalangan maut," katanya.

Menurut Muhammad Sufian, dia juga sempat bertemu dengan Allahyarham abangnya kali terakhir di rumah ibu bapanya ketika menghantar salah seorang ahli keluarga yang bekerja di Kapar, Klang kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin.

"Biasanya arwah tegur saya tapi hari itu abang tidak banyak bercakap dan mendiamkan diri," katanya.

Katanya, dia mengetahui kejadian kemalangan maut membabitkan Allahyarham abangnya ketika memandu dalam perjalanan pulang ke rumah pada jam 2.30 pagi.

"Rakan sekampung hubungi saya memaklumkan abang terbabit dalam kemalangan dan saya sempat melihat jenazah abang dibawa keluar dari kenderaannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Allahyarham abangnya disifatkan sebagai anak yang taat kepada ibu bapa selain disenangi dalam kalangan keluarga dan saudara-mara.

"Sepanjang hayatnya, arwah cuba tunaikan segala permintaan ibu dan ayah, selain tidak pernah mengeluh. Walaupun sukar menerima hakikat ini, namun saya reda dan berdoa arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

Seorang lagi ahli keluarganya, Hartini Muhammad Yusari, 39, berkata, Allahyarham Muhammad Fadzli sebelum ini pernah bekerja di sebuah institusi kewangan di Tanjong Karang sebelum berhenti pada 2012 akibat strok.

Menurut Hartini, walaupun masih sedih dan terkejut dengan kehilangan Allahyarham Muhammad Fadzli dalam sekelip mata, namun reda dengan ketentuan-Nya.

Katanya, jenazah Allahyarham Muhammad Fadzli dimandikan dan dikafankan di Hospital Tanjong Karang dan dibawa ke rumah keluarganya untuk disembahyangkan.

"Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang, kira-kira jam 2 petang," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Muhammad Fadzli maut selepas Perodua Myvi yang dipandunya melanggar Mercedes Benz C200 berusia 66 tahun yang menghentikan kenderaannya di tengah jalan dari arah Rawang ke Tanjong Karang.

Pelanggaran itu dipercayai mengakibatkan pemandu Perodua Myvi gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas masuk ke dalam parit dan maut di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!