Bas terbakar: Al-Quran tidak hangus
KUALA KANGSAR - Sebuah naskah al-Quran ditemukan masih berkeadaan baik meskipun bas ekspres yang membawa 12 penumpang musnah dalam kebakaran di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Perak di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 1.50 petang itu, kelihatan kandungan al-Quran itu masih berkeadaan baik tanpa ada satu ayat pun terkena api kecuali bahagian kulit muka dan belakang sahaja terdapat kesan terbakar.
Pemandunya, Nuzul Hakimi Anuar, 31, berkata, menjadi rutin dia bersama rakan setugas Mohd Tarmizi Mohd Faad, 30, membaca al-Quran di waktu lapang ketika berhenti solat.
"Kalam itu disimpan elok pada papan pemuka bersama surah Yasin. Sepanjang bertugas, naskhah ini akan dibawa bersama ketika berhenti solat.
"Selepas operasi pemadaman oleh anggota bomba selesai, saya terkejut apabila naskhah ini tidak terjejas sedangkan papan muka bas ini sudah cair," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Menurutnya, dia bersyukur apabila penumpang dan rakannya berjaya menyelamatkan diri tanpa melibatkan sebarang kecederaan.
"Kejadian itu disedari apabila saya turun bas dan ternampak asap di bahagian belakang. Kami menggunakan lima tong pemadam api namun tidak berjaya.
"Dengan bantuan rakan-rakan pemandu lori dan bas sedia ada, mereka juga dapat selamatkan beg-beg penumpang daripada hangus," katanya.
Nuzul Hakimi berkata, kesemua penumpang telah meneruskan perjalanan ke Kuala Nerang dan Pendang, Kedah.
Dalam kejadian itu, dua pemandu dan 12 penumpang terselamat apabila kebakaran dipercayai bermula di bahagian enjin telah memusnahkan 80 peratus bas dua tingkat itu.
Operasi pemadaman dilakukan oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar serta Meru Raya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bas ekspres terbakar, 14 selamat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!