Perlu kajian menyeluruh mansuh skim pencen
SHAH ALAM - Keputusan kerajaan untuk memansuhkan skim pencen penjawat awam bagi mengurangkan beban kewangan negara perlu dikaji secara menyeluruh.
Pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, ini kerana langkah itu dilihat tidak membantu memulihkan belanjawan kerajaan dalam tempoh yang singkat.
“Keputusan untuk membatalkan skim pencen ini bukanlah satu keputusan yang mudah dan ia tidak dapat membantu belanjawan kerajaan serta-merta. Dalam jangka panjang, 10 atau 15 tahun mungkin boleh menolong sedikit (kewangan kerajaan).
“Mungkin apabila difikirkan sekali imbas bahawa kos pencen ini terlalu besar misalnya setiap tahun kerajaan perlu membayar kira-kira RM30 bilion kepada bekas kakitangan kerajaan dan itu dilihat sebagai satu beban.
“Tetapi kita perlu membuat perbandingan yang lebih komprehensif dan lebih mendalam bagi menentukan mana satu yang lebih baik. Teruskan dengan melaksanakan skim pencen atau hapus dan gantikan dengan tambahan gaji sebagai contoh,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi semalam.
Tambah pakar dalam bidang perakaunan dan kewangan dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST) itu, keputusan untuk memansuhkan skim pencen itu juga dilihat hanya berasaskan beban tahunan pencen di dalam belanjawan tahunan bukannya dibuat dengan melakukan kajian terperinci.
“Walaupun jumlah pencen yang diterima pesara setiap bulan adalah kecil tetapi ia tetap merupakan satu jaminan kepada penjawat awam selepas mereka bersara nanti.
“Jadi sudah pasti kalau skim pencen ini dimansuhkan, golongan penjawat awam akan berasa lebih tergugat dan beranggapan masa depan mereka tidak terjamin,” katanya.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan memperkasakan pengurusan dana Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) agar mampu untuk menampung bayaran pencen setiap bulan.
“Soalnya kini kerajaan harus bijak bagaimana untuk menguruskan tabung berkenaan serta membuat pelaburan yang menguntungkan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!