Agong puas hati lawatan kerja ke Cameron Highlands
CAMERON HIGHLANDS - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa puas hati terhadap lawatan kerja dua hari ke sini yang bermula semalam.
Lawatan ke tanah tinggi ini adalah yang pertama sejak Al-Sultan Abdullah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan ia bukanlah tempat asing bagi Seri Paduka kerana semasa menjadi Pemangku Raja Pahang baginda kerap mencemar duli ke sini.
Al-Sultan Abdullah bertitah menerusi lawatan itu, baginda berpeluang melihat sendiri pembangunan dan projek-projek bermasalah serta kerja-kerja baik pulih dan naik taraf Kelab Golf Sultan Ahmad Shah.
Seri Paduka bertitah kepada Bernama, rasa puas hati itu lebih terserlah apabila berpeluang beramah mesra dengan penduduk di sini termasuk masyarakat Orang Asli di Perkampungan Sungai Ruil dan pemimpin setempat hari ini.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong berkenan mencemar duli meninjau tapak pencerobohan tanah Sungai Ichat di Kuala Terla dan bertitah agar tindakan tidak bertanggungjawab itu dihentikan segera.
Bagi melihat dengan lebih jelas lagi pembangunan semasa di kawasan pelancongan itu dan penerokaan haram, Al-Sultan Abdullah berkenan melakukan tinjauan udara dengan menggunakan helikopter petang ini.
Dalam tinjauan udara itu, Seri Paduka mengagumi keindahan alam dan hutan tebal yang membekalkan gas oksigen kepada manusia sejagat.
"Blanket of forest, ini satu amanah," titah Yang di-Pertuan Agong.
Selari dengan titah Seri Paduka agar semua pihak mengetepikan perbezaan politik demi kemajuan serta pembangunan masyarakat, Anggota Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Noor dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanah Rata Chiong Yoke Kong turut sama sepanjang dua hari lawatan kerja Al-Sultan Abdullah.
Ramli merupakan Anggota Parlimen dari Barisan Nasional, manakala Chiong adalah wakil rakyat DAP, parti komponen Pakatan Harapan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!