Mayat Mugabe dijangka dibawa pulang minggu depan
HARARE - Anak saudara Robert Mugabe memaklumkan satu delegasi dijangka berlepas dari Zimbabwe esok bagi menuntut mayat bekas presiden itu di Singapura.
Mugabe yang mula berkuasa sejak kemerdekaan Zimbabwe dari Britain dan memegang tampuk pemerintahan selama 37 tahun, meninggal dunia Jumaat lalu pada usia 95 tahun.
Kesihatan bekas pemimpin berkenaan merosot selepas digulingkan tentera pada November 2017 menyebabkannya terpaksa berulang-alik mendapatkan rawatan di Singapura.
"Saya tidak dapat memberikan tarikh pasti, apa yang saya tahu satu delegasi akan berlepas esok bagi menuntut mayat.
"Sekiranya mereka tiba Selasa dan mayat telah sedia dibawa pulang, mereka akan kembali pada Rabu," kata Leo Mugabe kepada AFP sambil menambah senarai ahli keluarga yang akan turut serta sedang diputuskan.
Digelar 'Bapa Pengasas Zimbabwe' dan 'Ikon Pembebasan', legasi Mugabe kini dikenang kerana kemusnahan ekonomi.
Pemergian Mugabe turut mencetuskan reaksi bercampur-baur dalam kalangan warga Zimbabwe.
Jumaat lalu Presiden Emmerson Mnangagwa mengisytiharkan tempoh berkabung di negara itu tanpa memberikan sebarang butiran lanjut. - AFP
ARTIKEL BERKAITAN: Robert Mugabe meninggal pada usia 95 tahun
Pemergian Mugabe tidak ditangis
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!