Malaysia tolak kenyataan SU Hal Ehwal Luar Filipina mengenai Sabah

Kementerian Luar
Kementerian Luar
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menolak sepenuhnya kenyataan yang dibuat oleh Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Teodoro Locsin Jr. di Taklimat Bajet Jawatankuasa Peruntukan negara itu pada 4 September lepas berhubung negeri Sabah.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf, dan tidak akan melayan sebarang tuntutan oleh mana-mana pihak terhadap negeri Sabah.

"Negeri Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia. Fakta ini telah diiktiraf dan diterima oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan komuniti antarabangsa sejak pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 Sept 1963. Oleh itu sebarang kenyataan yang merujuk atau mengaitkan tuntutan tidak wajar akan ditolak, (dianggap) sebagai tidak mesra dengan Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina mengesahkan semula tuntutan Filipina terhadap Sabah selepas wakil rakyat Lanao del Norte, Khalid Dimaporo bertanya sekiranya Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) ada memperuntukkan dana untuk Sabah.

Kementeria Luar berkata Malaysia meletakkan kepentingan tinggi dan amat menghargai hubungannya dengan Filipina, secara dua hala dan sebagai rakan kongsi dalam ASEAN, di samping sebagai rakan anggota lain-lain organisasi serantau dan antarabangsa.

"Hubungan Malaysia-Filipina yang terus berkembang dan membawa manfaat bersama kepada kedua-dua negara dan masing-masing rakyatnya, semestinya tidak memerlukan komen-komen yang tidak mesra dan memudarat sebegitu,” menurutnya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!