Media Community Drive 2019 catat penyertaan tertinggi

Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings Bhd dan Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Muazzam Mohamed bergambar bersama kesemua pemenang ‘Media Community Drive 2019’ ketika majlis penyampaian hadiah program berkenaan hari ini. - Foto Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif BIMB Holdings Bhd dan Bank Islam Malaysia Berhad Mohd Muazzam Mohamed bergambar bersama kesemua pemenang ‘Media Community Drive 2019’ ketika majlis penyampaian hadiah program berkenaan hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PORT DICKSON - BIMB Holdings Berhad-Bernama Media Community Drive (Media Community Drive 2019) telah menarik lebih 160 peserta dalam kalangan warga media sekaligus merekodkan penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjurannya sejak 2011.

Program anjuran BIMB Holdings Berhad (BHB) dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang diadakan di Negeri Sembilan selama dua hari bermula semalam, melibatkan 41 pasukan dari 20 organisasi media arus perdana, berbanding penyertaan sebelum ini melibatkan kira-kira 140 peserta sahaja.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam Malaysia Berhad (BHB) Mohd Muazzam Mohamed berkata program khidmat masyarakat bercirikan ‘mencari harta karun’ dengan tema "Escape from the city" itu, bukan sahaja bertujuan mengeratkan hubungan dengan rakan media tetapi turut melibatkan aktiviti berbentuk kebajikan.

"Program ini telah dilakukan dengan jayanya dengan sokongan rakan media yang turut serta dalam edisi kali ini. Selain mencari harta karun, kita ada juga program sumbangan kepada komuniti iaitu dengan memberikan barangan keperluan harian kepada Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim & Miskin Darul Khusus (PEYAKIN) Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyampaian hadiah BIMB Holdings Berhad-Bernama Media Community Drive (Media Community Drive 2019) edisi kesembilan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Muazzam program itu akan diteruskan pada tahun akan datang dengan menjanjikan aktiviti serta hadiah yang lebih menarik.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarang (Audio Visual) Bernama Abdul Rahman Ahmad berharap BHB dapat menyediakan hadiah serta aktiviti yang lebih menarik memandangkan program itu kian mendapat sambutan.

"Mungkin dari segi kategori pertandingan, ia boleh dipelbagaikan lagi termasuk membuka kategori bagi pemenang keseluruhan, pemenang dari segi tugasan dan pemenang bagi kategori menjawab soalan.

Artikel Berkaitan:

Pasukan Shara dari Media Prima yang dianggotai Abdul Razak Mohd Ramly, Mohd Azahar Abdul Aziz, Siti Maisharah Shafie dan Nurrul Hani Man, telah menjuarai program BIMB Holdings Berhad-Bernama Media Community Drive 2019 dengan membawa pulang wang tunai RM4,000.

Pasukan itu mengatasi pasukan Close One Eye dari NST yang memperoleh tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM3,000 manakala tempat ketiga dimenangi pasukan Seven Hunter 2 dari NTV7 dengan membawa pulang wang tunai RM2,000.

Program itu bermula dari pejabat Bank Islam Cawangan Bangi 2 di Bandar Baru Bangi, Selangor ke destinasi akhir di Hotel Lexis Hibiscus, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Peserta perlu melalui daerah Kuala Pilah dan Rembau dengan cabaran yang perlu ditempuhi antaranya di Kampung Lonek, para peserta perlu melengkapkan tugasan seperti mengukur kelapa, bermain boling kelapa dan lari buluh serta menghocha ikan keli.

Selain itu, mereka turut menyaksikan demonstrasi aktiviti mengemping padi dan mengacau dodol serta merasai kelazatan hidangan tradisi masyarakat Negeri Sembilan.

Para peserta seterusnya meneruskan perjalanan ke Rembau denga menyantuni rumah amal PEYAKIN Negeri Sembilan.

Akhir sekali di Port Dickson, peserta menyempurnakan aktiviti ala ‘explorace’ yang mencabar pengetahuan mereka mengenai sejarah ketenteraan negara di Muzium Tentera Darat.

Sebagai mengiktiraf jasa anggota tentera yang menjaga keamanan dan keselamatan negara, peserta juga menyampaikan sumbangan berupa wang tunai kepada dana yang telah disediakan untuk mereka.

Selain menawarkan hadiah bagi tempat pertama hingga ketiga, hadiah kategori khas turut disediakan iaitu RM200 untuk pemenang kategori ‘Most Authentic War Cry’, RM200 bagi kategori Pasukan ‘Instafamous’ dan RM180 untuk Pasukan Paling Lawak. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!