Dhabitah layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020

Nur Dhabitah Sabri - Foto Bernama
Nur Dhabitah Sabri - Foto Bernama
A
A
A

SEBAGAIMANA yang dijangka, penerjun negara Nur Dhabitah Sabri berjaya melayakkan diri untuk ke Sukan Olimpik Tokyo selepas beliau meraih pingat emas bagi acara 3m Papan Anjal Individu Wanita di Kejohanan Terjun Piala Asia 2019 di sini hari ini.

Penerjun berumur 20 tahun itu berjaya mencuri perhatian hakim dengan terjunan kemas yang membolehkan beliau mengumpul 313.85 mata untuk menerajui acara lima pusingan itu, manakala rakan senegara Loh Zhiayi pula berjaya meraih pingat perak selepas mengumpul 223.45 mata.

Penerjun Indonesia Linadini Yasmin mengumpulkan 191.30 mata untuk merangkul pingat gangsa.

Nur Dhabitah berkata beliau agak gementar pada mulanya semasa berdiri di atas papan anjal, namun berjaya mengatasi perasaan itu, memandangkan pertandingan ini amat penting baginya untuk membawa beliau ke arena lebih tinggi.

"Alhamdulillah, akhirnya slot ke Olimpik dapat juga. Saya sangat gemuruh walaupun kita ada peluang. Mungkin sebab pertandingan di tempat sendiri, dan saya nak bagi yang terbaik, sebab tu saya gemuruh," katanya kepada pemberita di Pusat Akuatik Negara di sini.

Walaupun bergelar juara, atlet kelahiran Kuala Lumpur itu masih belum berpuas hati dengan dua terjunan beliau hari ini.

"Saya rasa boleh buat lebih bagus di terjunan kedua dan ketiga saya. Saya akan terus berusaha untuk beraksi lebih baik sebab saya (baru pulang) dari Kejohanan Dunia (Gwangju 2019) dan tidak sempat untuk membuat latihan teknik dan asas. Jadi selepas pertandingan ini saya berhasrat untuk mula balik kepada latihan asas,” tambahnya.

Bagi Piala Asia, masing-masing pemenang acara papan anjal platform 3m dan 10m akan mendapat slot untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Tokyo.

Artikel Berkaitan:

Selain acara individu, Nur Dhabitah berkata beliau menyasarkan untuk memperoleh satu lagi slot Olimpik dalam acara terjun 3m papan anjal seirama wanita bersama pasangannya Wendy Ng Yan Yee.

Memandangkan Piala Asia tidak menjamin sebarang slot untuk acara seirama, kedua-dua mereka meletakkan sasaran memperolehnya di FINA Diving World Cup 2020 di Tokyo, hanya beberapa bulan sebelum Olympic 2020.

Sukan Olimpik Tokyo akan menjadi penampilan kedua Nur Dhabitah, dan beliau adalah penerjun keempat negara yang melayakkan diri selepas Pandelela Rinong Pamg, Leong Mun Yee dan Wendy.

Penampilan pertama beliau adalah di Rio 2016 selepas beliau meraih pingat emas dalam acara 10m platform individu, juga di Kejohanan Terjun Piala Asia di Bukit Jalil pada tahun sebelumnya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!