Syiah, realiti yang ‘tersorok’
AGAK lama kita tidak mendengar tentang laporan serbuan membabitkan aktiviti penganut Syiah di Malaysia.
Jika mengikut enjin carian Google, kali terakhir serbuan dan tangkapan dibuat pada 2017 di Johor.
Seramai 21 individu termasuk tiga warga Singapura dipercayai pengikut ajaran Syiah ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah dikenali sebagai Hauzah Syiah di Ulu Tiram.
Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Amran A Rahman berkata, kesemua mereka lelaki, berusia antara 21 hingga 67 tahun, ditahan ketika sedang menghadiri satu majlis berkaitan fahaman itu.
Yang terbaharu, Pengerusi Syiah Malaysia, Kamil Zuhairi Abdul Azizi merupakan antara 22 individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam serbuan di Taman Sri Gombak, Sabtu lalu.
Berita serbuan itu kembali menghangatkan keadaan, termasuk di media sosial sehingga Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari terpaksa tampil menjawab isu ini.
Menurut Amirudin, serbuan yang dijalankan adalah mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Kata beliau, kerajaan Selangor tetap berpegang terhadap larangan ke atas amalan ajaran Syiah seperti yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2013.
Tegasnya lagi, kerajaan Selangor sudah menjelaskan dan berulang kali dalam khutbah Jumaat menyebut berkenaan larangan terhadap ajaran Syiah itu.
Baru-baru ini, tular di media sosial beberapa gambar menunjukkan sekumpulan individu melakukan aktiviti penyebaran risalah Who Is Hussain? kepada orang ramai secara terbuka bertujuan meminta orang awam melawat laman web yang menjadi doktrin ajaran Syiah.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya mempunyai maklumat berhubung perkara berkenaan dan yakin ia dapat ditangani dengan sebaiknya.
Sememangnya isu amalan Syiah amat sensitif jika dibincangkan, namun realiti ia berada dan ‘tersorok’ dalam masyarakat dan seolah-olah dakyahnya semakin berkembang di negara ini.
Apa yang penting, umum perlu tahu salah satu ajaran syiah ialah mereka menolak Ijmak Ulama, Islam bukan syarat wajib haji dan pelbagai lagi yang boleh mendatangkan bahaya kepada umat Islam di samping menyebabkan perpecahan ummah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!