Sekolah tahfiz disaran ajar seni silat

Lebih 300 pesilat Gayong berjaya dihimpunkan dalam satu majlis yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, semalam.
Lebih 300 pesilat Gayong berjaya dihimpunkan dalam satu majlis yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Perak, semalam.
A
A
A

IPOH - Semua sekolah tahfiz disaran untuk membuka gelanggang silat bagi pelajar mempelajari seni bela diri.

Ahli Lembaga Waris Amanah Seni Silat Gayong Malaysia dan Serantau, Mohd Amin Hamzah berkata, selain menghafal al-Quran, pelajar tahfiz boleh mengisi masa mereka dengan mempelajari mempertahankan diri yang disifatkan sebagai fardu kifayah.

Menurutnya, mengambil contoh sepertimana Rasulullah SAW mengajar cucu baginda menggunakan pedang, memanah dan berkuda, seni silat yang mempunyai elemen mempertahankan diri wajar dipelajari.

"Junjungan besar Nabi Muhammad SAW merupakan pejuang Islam. Baginda ajar cucunya bagaimana berperang, bertempur, memanah dan berkuda.

"Sebab itulah saya sangat berminat untuk mengajar ilmu silat ini kerana kita nak terangkan kenapa ia fardu kifayah. Mempersiapkan diri mereka untuk mempertahankan diri," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada program Himpunan Anak-Anak Gayong Serantau dan se-Malaysia di Dewan Utama Jabatan Belia dan Sukan Perak, di sini, semalam.

Mohd Amin Hamzah
Mohd Amin Hamzah

Hadir sama merasmikan himpunan itu, Presiden Pertubuhan Silat Kebangsaan (Pesaka) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin.

Sementara itu, Zainol Fadzi yang ditemui media selepas itu berkata, pihaknya menyambut baik hasrat itu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, seni silat mempunyai disiplin yang sangat tinggi dan sangat menghormati guru.

"Dalam kita mendalami al-Quran, seni silat selain dapat meningkatkan kesihatan dan kecergasan, elemen-elemen kerohanian memang ada dalam silat.

"Perkara yang membezakan silat dengan seni bela diri lain, disiplin anak silat lebih tinggi. Malah perasaan hormat kepada guru itu amat tinggi dan sebab itu guru silat kita panggil mahaguru," katanya.

Beliau berkata, Pesaka Perak akan bersedia dari sudut kejurulatihan bagi memastikan tenaga pengajar mencukupi untuk sekolah-sekolah tahfiz membuka gelanggang.

Dalam pada itu, Zainol Fadzi meminta agar orang Melayu memartabatkan seni silat agar setanding dengan seni bela diri yang lain.

Katanya, jika ada pihak sanggup membayar yuran yang mahal untuk belajar seni bela diri asing, orang Melayu harus mengangkat silat sama taraf atau lebih tinggi dari itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Himpunan Anak-Anak Gayong Serantau dan se-Malaysia itu berjaya menghimpunkan lebih 300 orang dari seluruh Perak.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!