Tukang masak maut motosikal dirempuh kereta
LANGKAP - Seorang tukang masak maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis BMW di Kilometer 28, Jalan Langkap- Kampar, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Fikri Mohd Fazil, 29, berasal dari Taiping, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 berkonvoi bersama tiga rakan lain untuk menonton perlumbaan Cup Prix yang berlangsung di Teluk Intan.
“Kejadian itu berlaku apabila kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.
“Keadaan itu menyebabkan kereta BMW yang dipandu lelaki berusia 23 tahun itu tidak sempat mengelak lalu terlanggar mangsa,” katanya.
Menurutnya, akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat.
“Pemandu kereta terbabit tidak cedera dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!