Malaysia harap hasil positif apabila AS, China sambung rundingan
KUALA LUMPUR - Malaysia mengharapkan keputusan positif dan konstruktif apabila Amerika Syarikat (AS) dan China menyambung semula rundingan pada awal Oktober bagi menamatkan perang tarif antara dua ekonomi terbesar di dunia itu.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam kenyataannya hari ini berkata, perang perdagangan antara China-AS merugikan semua negara, terutama ekonomi kecil.
"Daripada mengambil kedudukan satu phak dalam isu ini, kita menantikan hasil positif dan konstruktif apabila dua ekonomi terbesar di dunia itu kembali ke meja rundingan pada awal Oktober," katanya.
Pada masa yang sama, Malaysia mesti terus memperkukuh hubungannya dengan rakan ASEAN dan meneruskan kerjasama bersinergi dengan China dan AS.
Katanya, Malaysia yakin bahawa bekerja dalam rangka kerja pelbagai hala merupakan cara terbaik untuk maju untuk manfaat semua.
Menurut laporan, Beijing dan Washington menaikkan tarif pada 1 September dan AS dijangka menaikkan lagi tarif pada 1 Oktober.
Ketidaktentuan dasar itu menjejaskan kedua-dua negara maju itu serta ekonomi pesat membangun.
Pengasas dan Ketua Pegawai Pelaburan Singular Asset Management Sdn Bhd, Teoh Kok Lin dalam temu bual dengan Bernama baru-baru ini berkata, Malaysia sebagai negara perdagangan utama, pasti akan terjejas oleh pertikaian perdagangan yang semakin meningkat antara kedua-dua gergasi ekonomi itu kerana ia bergantung kepada faktor global.
"Namun jika ketegangan perdagangan menjadi terlalu sengit dan terus menjejaskan ekonomi global, kita perlu memikirkan rantaian bekalan yang lain dan tidak semata-mata bergantung kepada AS dan China sebagai pangkalan bekalan kita," katanya.
Untuk itu, Teoh menggesa komuniti perniagaan bukan tidak sahaja melihat sektor perkilangan, malah turut memberi tumpuan terhadap sektor lain, seperti pelancongan dan pendidikan sebagai penjana utama pendapatan negara. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!