24 rumah sekitar Kampung Ulu Atok rosak dilanda ribut
![Keadaan atap rumah salah seorang penduduk yang rosak akibat kejadian ribut, petang semalam.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2019/09/09/454880.jpg)
RAUB - Sebanyak 24 keluarga dari sekitar Kampung Ulu Atok di sini terjejas selepas rumah mereka rosak akibat kejadian ribut, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 petang itu, kebanyakan rumah terlibat mengalami kerosakan pada bahagian atap namun tidak melibatkan kerosakan serius.
![Anggota APM menjalankan kerja-kerja pembersihan pokok tumbang selepas kejadian ribut petang semalam.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2019/09/09/454882.jpg)
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Pesuruhjaya (PA) Zainal Yusof berkata, secara keseluruhan rumah-rumah yang terjejas masih selamat diduduki dan tiada penduduk yang terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan.
Menurutnya, anggota APM dikerah ke lokasi untuk menghulurkan bantuan kepada penduduk terjejas termasuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan terlibat.
"Kita mengerahkan anggota untuk membersihkan pokok tumbang di kawasan rumah penduduk selain menghulurkan kit makanan kepada mangsa yang terjejas," katanya.
![Kit makanan turut dihulurkan kepada mangsa terjejas.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2019/09/09/454881.jpg)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!