Program tahun baharu di Port Dickson undang maksiat?
PORT DICKSON – Muafakat Anak Muda Port Dickson, membantah penganjuran program Neon Countdown yang bertemakan ‘Love, Music and Experience’, sempena menjelang tahun baharu 2019.
Program yang akan berlangsung di sebuah Villa sekitar Port Dickson itu dilihat boleh mengundang ke arah kemaksiatan, memandangkan ia dilakukan secara privasi oleh sebuah pihak luar.
Pengerusi Muafakat Anak Muda Port Dickson, Megat Muhammad Faris berkata, pihaknya menerima aduan mengenai penganjuran program tersebut, dan rata-rata daripada belia di daerah ini membantah program tersebut.
“Menjelang tahun baru 2019 yang akan tiba dengan aura Malaysia Baharu ini, pasti anak-anak muda mahukan aktiviti yang mendatangkan faedah, akan tetapi di Port Dickson akan berlangsung satu program yang diluar jangkaan.
“Kita melihat program ini boleh mendatangkan masalah sosial yang tinggi, sepatutnya perlu ada aktiviti yang membina jati diri dan membangunkan rohani anak muda dengan program-program agama seperti malam berselawat atau kem-kem yang mengurangkan masalah sosial.
“Kesan negatif yang dapat saya lihat akan berlaku pada program ini adalah masalah sosial seperti seks bebas, masalah penggunaan barang terlarang serta mereka yang beragama Islam akan terpengaruh dengan penggunaan minuman beralkohol, adakah ini anak-anak muda yang kita mahukan demi membina negara?,”katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, pihaknya tidak menafikan kehadiran pengunjung ke pantai peranginan negara ini semakin ramai, tetapi jangan pula aktiviti seperti ini galak dilakukan tanpa batas.
Katanya, kerajaan baharu mahu membina anak muda yang hebat bukan hanya dari segi pendidikan, tetapi hebat dalam membendung masalah sosial.
“Saya berharap pihak berkaitan dapat memantau aktiviti sebegini, dan jika perlu sama-sama membantah penganjuran program ini.
“Biarpun tidak dilakukan secara terbuka kepada orang awam, tetapi kita bimbang masalah sosial akan terus berlaku di PD, jika tidak disekat dari awal,”katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!