Remaja perempuan mabuk bersama tujuh lelaki dicekup
KUALA TERENGGANU - Seorang remaja perempuan ditangkap bersama tujuh lelaki ketika sedang leka menikmati minuman keras di tepi pantai Pasir Panjang, Pulau Perhentian, Besut.
Remaja berusia 19 tahun dan rakan lelakinya yang berusia antara 20-an hingga 30-an itu dicekup penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT), kira-kira jam 12 tengah malam, Jumaat lalu.
Ketua Penolong Pesuruhjaya (Penguatkuasaan) JHEAT, Nik Zuhaiza Ismail, berkata, semasa serbuan di lokasi, didapati terdapat seorang perempuan yang berpakaian menjolok mata bersama tujuh lelaki sedang bersantai di tepi pantai.
"Semasa tiba di situ, mereka sedang rancak bersembang sambil menikmati minuman keras yang terhidang di atas meja.
"Bagaimanapun sejurus menyedari kehadiran kami, masing-masing menyembunyikan botol minuman itu di bawah meja kononnya untuk mengaburi mata penguatkuasa.
"Tetapi 'lakonan' itu tidak berhasil sebelum kesemuanya ditahan untuk siasatan lanjut," katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.
Menurut Nik Zuhaiza, siasatan awal mendapati kesemua mereka dari Johor Bahru dan merupakan rakan sekerja yang datang bercuti ke pulau ini.
"Setelah disoal siasat, mereka mengaku membeli minuman keras itu menggunakan wang yang dikumpul bersama-sama terutama bagi minuman keras berjenama mahal di pasaran.
"Kita merampas sebanyak dua botol arak pelbagai jenama dan satu tin arak yang sudah diminum separuh daripadanya" katanya.
Katanya, kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 23(1) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Terengganu 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Dalam masa sama, Nik Zuhaiza menegaskan pihaknya akan berusaha habis-habisan untuk menangani serta menumpaskan kegiatan minum minuman keras dalam kalangan umat Islam hari ini.
Jelasnya, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa lokasi yang sering menjadi pilihan dan tumpuan kaki minum melepaskan ketagihan, malah serbuan dan pemantauan berterusan akan dilakukan di lokasi terlibat.
"Kita amat memandang serius berhubung kegiatan umat Islam yang sanggup meminum minuman keras yang secara jelas disebut dalam al-Quran sebagai minuman yang haram dan boleh membawa banyak kemudaratan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!