'Lukisan mural belum siap'
SUNGAI SIPUT - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mahatma Gandhi Kalasalai di sini kesal dengan pihak tertentu menjadikan lukisan mural yang belum siap sebagai isu perkauman.
Pengerusinya, R Gopi berkata, dengan tanpa usul periksa menyebarkan gambar mural tersebut dengan mencetuskan persepsi negatif terhadap sekolah itu merupakan satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab.
Beliau berkata, maklumat tidak benar seperti yang disebarkan itu boleh mencetuskan tanggapan tidak baik kepada SJKT seterusnya mengganggu pembelajaran murid.
"Kita kesal dengan penularan gambar mural dengan maklumat yang tidak tepat itu. Lukisan mural itu menampilkan tokoh-tokoh pemimpin dan sasterawan dunia. Lagipun lukisan itu sedang disiapkan dan beberapa tokoh negara ini akan turut dilukis.
"Amatlah tidak adil melabel SJKT mengagungkan pemimpin India sedangkan tokoh tersebut dipilih berdasarkan sumbangannya kepada masyarakat dunia dan kesusasteraan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai gambar lukisan mural yang tular mengaitkan sekolah berkenaan mengagungkan pemimpin politik India.
Dalam pada itu Gopi berkata, rentetan daripada penularan gambar mural itu, Guru Besar SJKT Mahatma Gandhi Kalasalai, T Muthuselvan telah mengemukakan surat penjelasan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Kangsar dan Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
Menurutnya, lukisan mural di luar dinding sekolah itu merupakan projek keceriaan yang diusahakan oleh PIBG Sekolah melibatkan potret bersama kata-kata motivasi dalam bahasa Tamil melibatkan ahli sasterawan, ahli bahasa, tokoh dunia, ahli cendekiawan, ahli falsafah tempatan dan luar negara tanpa mengira kaum.
Beliau berkata, semua pihak perlu menghentikan usaha-usaha menaikkan sentimen perkauman sebaliknya mendapatkan maklumat tepat terhadap sebarang mesej atau gambar yang tular.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!