Azmin di UAE untuk mesyuarat mengenai tenaga

Azmin - Foto Bernama
Azmin - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengetuai delegasi Malaysia pada Rundingan Meja Bulat Peringkat Menteri Mengenai Tenaga Asia (AMER8) kali kelapan dan Kongres Tenaga Dunia ke-24 (WEC24) sempena lawatan kerjanya ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Delegasi Malaysia akan mengambil bahagian secara aktif dalam semua sesi di AMER8 dan WEC24 dengan bertukar dan berkongsi pandangan, idea dan perspektif baharu mengenai teknologi baharu dan penyelesaian secara inovatif dalam menangani isu trilemma bagi jaminan tenaga, kelestarian dan kemampuan, dengan perwakilan dari 62 negara.

Menurut kenyataan, ketibaan Azmin disambut Menteri Tenaga dan Industri UAE, Suhail Al Mazrouei sebelum mengadakan perbincangan yang produktif dan menarik mengenai bidang-bidang berpotensi bagi jalinan kerjasama ekonomi dan peluang pelaburan selanjutnya antara Malaysia dan UAE.

Bidang yang dibincangkan termasuk penyertaan syarikat UAE dalam projek infrastruktur awam Malaysia.

Azmin turut diberi penghormatan mengadap Putera Mahkota Abu Dhabi yang juga Timbalan Komandan Tertinggi Angkatan Bersenjata UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, kata kenyataan itu.

Pertemuan itu adalah susulan lawatan khas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah pada Jun lalu yang membuka jalan bagi kerjasama ekonomi lebih baik dengan UAE juga rakan dagang terbesar Malaysia di Timur Tengah.

Perbincangan diteruskan semasa lawatan baginda ke Malaysia untuk menghadiri istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong pada Julai apabila pertemuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Azmin dengan baginda untuk membincangkan penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Bersama (JIC) antara Malaysia dan Abu Dhabi bagi meningkatkan hubungan ekonomi dan memudahkan pelaburan antara kedua-dua negara, membuahkan hasil.

JIC dijangka menjadi topik utama perbincangan semasa pertemuan Azmin dan baginda.

Artikel Berkaitan:

Azmin juga dijadual mengadakan mesyuarat dua hala di luar AMER8 dan WEC24 dengan Menteri Tenaga, Tenaga Manusia dan Industri Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Dr Awang Mat Suny Md Hussein dan Menteri Petroleum & Gas Asli dan Menteri Keluli India, Dharmendra Pradhan.

Mesyuarat dua hala itu akan membincangkan langkah proaktif untuk meningkatkan hubungan ekonomi dengan Brunei Darussalam dan India.

Delegasi Malaysia terdiri daripada pegawai kanan dari Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, diplomat dari Kedutaan Malaysia di Abu Dhabi dan pengurusan kanan Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Malaysia bersedia untuk terlibat secara aktif dalam perbincangan strategik dengan para pemimpin di AMER8 dan WEC24 bagi mencetuskan idea dan penyelesaian baharu yang mampan dalam menangani isu akses kepada jaminan tenaga, kemampanan dan kemampuan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!