Ajal ketika memancing
BALIK PULAU - Seorang lelaki ditemukan lemas selepas tergelincir ketika memancing di kawasan pesisiran pantai Pasir Panjang di Pulau Betong di sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 7 malam, Mohammad Husaini Mazlan, 23 dari Taman Seri Indah disahkan meninggal dunia selepas dia berjaya diselamatkan oleh beberapa nelayan.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden AA Anbalagan berkata, bapa mangsa yang merupakan pemandu ambulans di Hospital Balik Pulau bersama staf perubatan bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan oleh isterinya mengenai kejadian berkenaan.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian mendapati anaknya itu dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri.
"Pembantu perubatan telah menjalankan bantuan pernafasan namun anaknya masih tidak sedarkan diri dan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
"Pemeriksaan yang dibuat pada badan mangsa didapati tiada unsur unsur jenayah yang berlaku dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.
Anbalagan berkata, hasil bedah siasat dilakukan mendapati mangsa meninggal akibat lemas dan mayat mangsa telah dituntut oleh ahli keluarga untuk dikebumikan.
Katanya, kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!