Kempen beli produk Muslim bantu ekonomi ummah

Rosli (kiri) dan Zuridan
Rosli (kiri) dan Zuridan
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menyokong penuh usaha Pas Pusat dalam mengaktifkan kempen membeli barangan keluaran Muslim.

Pesuruhjayanya, Rosli Abdul Jabar berkata, kempen sokong produk Muslim disifatkan memberi kesan positif kepada ekonomi secara lebih meluas.

"Kempen ini dapat membantu Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan masyarakat luar bandar agar lebih berdaya saing, secara tidak langsung memberi keperluan pekerjaan kepada golongan belia yang kini ramai menganggur.

"Ia juga membawa kepada kitaran ekonomi ummah yang lebih progresif umpamanya dalam hal zakat, sedekah, wakaf dan sebagainya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas Pahang, Zuridan Mohd Daud berkata, kempen kesedaran mengutamakan barangan keperluan Muslim adalah selari dan bertepatan dengan ajaran Islam.

"Setiap Muslim sewajarnya berusaha mencari sumber makanan halal dan memastikan ia datang dengan pakej toyyiban iaitu makanan yang baik, bersih dan berkualiti.

"Penghasilan sesuatu produk makanan khususnya adalah merangkumi proses-proses yang bermula daripada peringkat pemilihan sumber dan penyediaan bahan, proses pengilangan, pengeluaran, penyimpanan, pemindahan, pengedaran sehingga produk tersebut dipasarkan kepada pengguna.

"Sekiranya terdapat keraguan dalam proses tersebut itulah disebut sebagai Syubhah, yang perlu Muslim hindari kerana makanan akan menjadi darah daging," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas gesa PH bantu jayakan kempen ‘Beli Produk Muslim Dulu’

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!