Harimau Malaya perlu tenang berdepan UAE: Cheng Hoe

Tan Cheng Hoe bersalaman dengan jurulatih Emiriah Arab Bersatu (UAE) Bert Van Marwijk.- Foto Bernama
Tan Cheng Hoe bersalaman dengan jurulatih Emiriah Arab Bersatu (UAE) Bert Van Marwijk.- Foto Bernama
A
A
A

SKUAD Harimau Malaya perlu tampil lebih tenang untuk mengelak daripada melakukan kesilapan ketika melayani kunjungan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, malam esok.

Peringatan itu disuarakan ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe yang menyasarkan meraih keputusan positif berdepan pasukan di ranking ke-65 dunia itu bagi meneruskan kecemerlangan selepas menewaskan Indonesia 3-2 dalam aksi sulung kumpulan di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis lepas.

Pengendali berusia 51 tahun itu mahu barisan pemainnya memulakan perlawanan esok dengan keyakinan tinggi dan tidak mengulangi kesilapan mudah seperti dilakukan di Jakarta yang menyaksikan Malaysia terpaksa bekerja keras untuk bangkit setelah ketinggalan hasil dua gol mudah pasukan lawan.

“Kesilapan itu perkara biasa dilakukan dalam bola sepak tetapi kesalahan besar seperti kelalaian membuat hantaran dalam kawasan sendiri yang mudah dipintas pemain lawan sehingga menyebabkan kita dibolosi, perlu diperbaiki.

“Semua itu harus ditingkatkan dan kita juga perlu ada keyakinan tinggi pada perlawanan ini kerana kita tahu UAE bukan pasukan yang calang-calang. Sekiranya kita membuat kesilapan sedemikian mungkin kita akan dihukum,” katanya pada sidang media pra perlawanan di sini hari ini.

Pada masa sama, Cheng Hoe menyifatkan pemain tonggak UAE, Omar Abdul Rahman bukan satu-satunya ancaman kepada pasukan negara.

Sebaliknya, Cheng Hoe mengakui tumpuan utama pasukannya pada pertembungan itu lebih terarah kepada kemampuan keseluruhan skuad kendalian Bert Van Marwijk.

“Mana-mana pasukan ada pemain tonggak tersendiri yang mampu buat sesuatu tetapi tumpuan kami bukan sahaja kepada satu pemain...tetapi kita lihat keseluruhan pemain UAE yang mempunyai kualiti terbaik kerana pengalaman beraksi di pentas berbeza berbanding pasukan negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Malaysia kini mengungguli saingan Kumpulan G dengan mengutip tiga mata, mengatasi Thailand dan Vietnam yang berkongsi satu mata di tempat kedua dan ketiga, sementara perlawanan esok merupakan aksi sulung buat pasukan UAE.

Sebagai rekod, kali terakhir Harimau Malaya menewaskan UAE adalah pada Pestabola Merdeka 1982 dengan keputusan 2-1 dan kemenangan 2-0 dicatat pada Piala Asia 1980. Selain itu pasukan kebangsaan tewas dalam sembilan pertemuan dan seri sekali.

Paling tidak dapat dilupakan apabila dibelasah 10-0 kepada pasukan berkenaan pada kempen kelayakan edisi terdahulu pada 2015, kekalahan terbesar dalam sejarah buat pasukan negara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!