Warga emas maut terjun sungai
BATU PAHAT - Seorang warga emas lelaki maut dipercayai terjun ke dalam sungai Sungai Batu Pahat di sini awal pagi tadi.
Bagaimanapun, mayat Ling Ah Teng, 79, berjaya ditemui kira-kira jam 10.52 pagi.
Komander Operasi, Mohd Fauzi Md Nor berkata, Pusat Gerakan Operasi Negeri Johor menerima panggilan kecemasan khidmat khas mencari mangsa lemas di jambatan Sungai Batu Pahat melalui talian MERS 999 pada jam 5.36 pagi.
Menurutnya, sebuah jentera dan sebuah bot dihantar ke tempat kejadian membabitkan lima anggota.
"Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, didapati benar seorang mangsa dipercayai telah terjun ke dalam sungai.
"Pihak polis menjumpai sebuah basikal, beg duit dan selipar mangsa di atas jambatan tersebut.
"Pada jam 10.52 pagi, pihak bomba telah menjumpai mayat mangsa yang terapung dalam jarak lebih kurang 200 meter dari tempat mangsa dipercayai terjun," katanya.
Mohd Fauzi berkata, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Operasi ditamatkan pada jam lebih kurang 12.30 tengah hari tadi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!